Pas Selangor langgar prinsip konvensyen politik dan raja berpelembagaan

Pas Selangor langgar prinsip konvensyen politik dan raja berpelembagaan

Penganalisis politik  Dr Mazlan Ali berpandangan keputusan Pas untuk menunggu tindakan Menteri Besar dan perkenan Sultan Selangor bagi menentukan kedudukan tiga exco parti itu dakwanya  bertentangan dari segi prinsip konvensyen politik berperwakilan dan raja berperlembagaan..

Penganalisis politik  Dr Mazlan Ali berpandangan keputusan Pas untuk menunggu tindakan Menteri Besar dan perkenan Sultan Selangor bagi menentukan kedudukan tiga exco parti itu dakwanya bertentangan dari segi prinsip, konvensyen politik berperwakilan dan raja berperlembagaan.

Pensyarah Kanan dari Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, Pas sudahpun memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR, bermaksud Pas bukan lagi rakan dalam gabungan majoriti Pakatan Harapan (PKR,DAP, Amanah) dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor.

“Dari segi konsep kebertanggungjawaban Exco Pas kini menjadi sukar dipraktikkan.

“Bagaimana mungkin exco Pas mahu mempertahankan atau dipertahankan oleh rakan-rakan Exconya  dari PKR, DAP dan Amanah sekiranya berlaku ‘celaan’ di Dun, sedangkan Pas bukan lagi sebahagian dari komponen majoriti yang membentuk kerajaan dan penyokong di Dun Selangor.

“Tindakan Pas memutuskan tahaluf siyasi bermaksud Pas tiada lagi kepercayaan terhadap rakan tahalufnya, justeru segala bentuk kerjasama termasuk lantikan-lantikan politik harus dihentikan,” terangnya kepada Malaysia Dateline.

Semalam Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiga Exco Pas dalam Kerajaan Selangor akan terus kekal dalam pentadbiran selagi Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tiada sebarang cadangan dan diperkenan Sultan Selangor.

Tiga Exco Pas di Selangor ialah Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar; Datuk Dr Ahmad Yunus (Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi)  dan; Zaidy Abdul Talib (Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).

Isu Pas – PKR di Kelantan

Mengulas kedudukan PKR di Kelantan pula, Dr Mazlan juga berkata, tindakan PKR adalah wajar apabila membuat keputusan bagi semua lantikan politik membabitkan 39 ahli PKR dilantik sebagai ahli Majlis Daerah, 14 Penghulu Tanpa Mukim, Penyelia Parlimen dan Dun 6 orang, Pegawai Pejabat Tanah dan Galian 6 orang dan  10 lagi berada dalam syarikat milik kerajaan melepaskan jawatan berkuatkuasa serta merta.

“Tindakan pucuk pimpinan PKR di Kelantan menunjukkan pemahaman ahli-ahli politik PKR terhadap konvensyen (tahaluf siasi) politik, setelah Pas memutuskan hubungan politik dengan partinya,” ujarnya.

Bagaimanapun Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hasan semalam pula berkata,Pas Kelantan tidak akan memecat ahli PKR lantikan Politik Kelantan walaupun mendapat arahan dari pucuk pimpinan parti itu dan undang-undang tubuh negeri pula membolehkan mana-mana yang dilantik bebas meletakkan jawatan.

Dengan ketetapan Pas Kelantan itu Mazlan tidak menolak pandangan yang pernah dilontarkan oleh parti gabungan Pakatan Harapan, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin di Alor Setar pada Rabu, jika Pas-Umno bekerjasama situasi itu akan memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan.

“Di Kelantan, jika berlaku pertandingan tiga penjuru, Pas sukar mempertahankan kerajaan sedia ada kerana Pakatan Harapan akan menjadi saingan yang kuat terhadap Pas-BN.

“Tidak mustahil kerjasama Pas-Umno itu akan berlaku di Kelantan setelah putusnya tahaluf siyasi Pas dengan PKR.

“Jika Pas bekerjasama dengan Umno untuk mewujudkan pertandingan dua penjuru, kemungkinan Pas boleh pertahankan negeri Kelantan.

“Ini bagi mengelakkan undi pembangkang akan berpecah kerana BN mempunyai kelebihan untuk memenangi kerusi yang lebih banyak.

“Jika itu tidak berlaku (kerjasama Pas-Umno), Pakatan Harapan mampu menggugat dan mungkin berjaya memenangi beberapa kerusi di negeri Kelantan,” ujarnya.

Dr Mazlan melihat  gabungan parti dalam Pakatan Harapan akan membentuk satu barisan pembangkang yang berpotensi menjadi saingan kuat kepada Pas dan BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

 

TAGS