PAS sertai Umno, MCA pula gelabah?

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

“Sudah nampak ‘gambar’ bahawa pada masa depan, PAS akan bekerjasama rapat dengan BN tetapi sama ada PAS akan menyertai BN ataupun tidak, itu belum tentu lagi,” kata seorang penyokong PAS yang menjual ‘burger’ di sebuah gerai di tepi jalan di kawasan Segambut.

Hasan yang berusia 36 tahun yang mengaku dirinya sebagai penyokong tegar PAS menerangkan sudah jelas bahawa Umno sedang mempelawa PAS untuk bekerjasama dan ini tentu akan mempengaruhi pimpinan tertinggi PAS untuk membuat keputusan sebelum Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

“Selain dari itu, hakikatnya ialah kalau PAS menyertai BN, BN mempunyai peluang untuk mentadbir negara buat selama-lamanya kerana BN akan memperolehi majoriti undi dari masyarakat Melayu iaitu golongan pengundi yang terbesar,” sambung Hasan.

Namun demikian, apa yang menarik dalam senario politik pada masa kini ialah ‘kebimbangan’ MCA bahawa PAS akan menyertai BN dan laporan sebuah akhbar harian Bahasa Inggeris bertarikh 17 Disember 2015 telah menunjukkan ‘kebimbangan’ tersebut dalam artikel bertajuk ‘MCA hits out at DAP’ (MCA menunjukkan kemarahan terhadap DAP) dalam suratkhabar tersebut.

MCA sekarang menyerang DAP setelah Perdana Menteri Najib Tun Razak mempelawa PAS untuk bekerjasama dalam ucapan beliau di Perhimpunan Agung UMNO yang baru sahaja selesai lebih daripada minggu lalu .

Adakah ini menunjukkan bahawa MCA gelisah bahawa mungkin masa depan mereka terancam jika PAS menyertai BN dan justeru itu kini sedang menunjukkan kemarahan mereka terhadap DAP kononnya DAP ‘gagal mengawal PAS’?

“MCA sudah ‘panik’lah, mereka takut kalau PAS menyertai BN maka MCA tiada lagi suara dalam BN kerana Umno sudah cukup undi untuk memenangi PRU14 dan tidak perlu bantuan MCA lagi.Ini akan membuatkan MCA ‘tidak relevan’ buat selama-lamanya,” kata Alex Chin, seorang penyokong Pakatan berusia 60 tahun apabila diminta mengulas mengenai serangan terbaru MCA terhadap DAP pada masa terkini.

Sementara itu, seorang penganalisis politik neutral yang berbangsa Cina yang mengulas mengenai politik Cina tanahair berpendapat perkembangan politik terkini diantara UMNO dengan PAS amat menggusarkan MCA kerana MCA bakal kehilangan kedudukannya sebagai parti yang kedua terbesar dalam BN jika PAS menyertai BN. Sejurus dengan itu, pendapat MCA tidak perlu dipedulikan lagi oleh UMNO.

Ini adalah amat bahaya untuk MCA yang kebarangkalian tinggi akan dipinggirkan jika PAS menyertai BN.

Seorang pengundi wargamas yang berumur 72 tahun, Peter Loh berpendapat masa depan MCA sedang menuju ke jalan buntu sebab pada pilihanraya umum yang lalu MCA pun sudah kehilangan sokongan Cina dan sudah nampak bayang-bayang MCA akan menjadi ‘tidak relevan’ tidak lama lagi. (Dalam pilihanraya umum yang lalu, MCA hanya memenangani 7 buah kerusi Parlimen dan 11 buah kerusi Dewan Undangan Negeri).

Seramai 10 orang pengundi muda berbangsa Cina dalam lingkungan umur 30-an yang diwawancara menyatakan bahawa mereka menyokong DAP. Rumusan mereka ialah masyarakat Cina semakin kehilangan kepercayaan terhadap MCA.

“Masyarakat Cina tidak lagi menyokong MCA kerana MCA selalu tunduk dan takut pada UMNO, sudah menjadi Pak Turut. Sehingga kini, MCA takut menentang Cukai Barangan Dan Perkhidmatan dan hanya diam membisu perihal isu kenaikan harga tol, tambang pengangkutan awam dan bil elektrik. Adakah MCA benar-benar berjuang untuk rakyat?” tanya Billy Lam yang menjadi penyokong DAP setelah nampak MCA gagal bersuara.

Semua 10 orang pengundi muda tersebut rata-rata ‘membelasah’ MCA sebagai parti yang hanya wujud dengan tujuan untuk menunjukkan bahawa BN adalah koalisi yang berbilang kaum tetapi setakat itu sahajalah fungsi MCA.

CATEGORIES