Pas tak kemaruk kuasa, sedia sokong Umno dengan syarat – Hadi Awang

Pas tak kemaruk kuasa, sedia sokong Umno dengan syarat – Hadi Awang

Pas bukan sebuah parti yang kemaruk kuasa untuk memerintah negara apatah lagi merampas tampuk pemerintahan negara daripada parti seterunya, Umno.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, Pas sebaliknya merupakan parti yang sejak awal penubuhannya pada 1951 sentiasa memperjuang agendanya untuk menegakkan syiar dan undang-undang Islam mengikut hidayah Allah, lapor Utusan Malaysia.

Beliau mengakui bahawa parti yang diterajuinya itu bersedia menjadi pendokong kuat kepada Umno sekiranya parti tonggak BN itu mentadbir negara dengan ikhlas serta kembali kepada ajaran Islam.

“Macam mana kita nak cari pemerintahan begini iaitu balik kepada Islam. Justeru, Pas mengajak kembali kepada Islam khususnya orang Melayu, tidak kira Pas atau Umno dan Pas tak tamak kuasa.

“Kalau Umno kembali pada Islam, laksanakan Islam mengikut hidayah Allah, bukan kerana Islam untuk dapatkan sokongan rakyat serta benar-benar ikhlas kerana Allah, kita akan dokong agar Islam ditegakkan. Pas tak berebut jawatan atau kuasa. Apa yang Pas mahu hanya Islam ditegakkan,” katanya.

Beliau menegaskan demikian ketika berucap merasmikan program Himpunan Harapan Rakyat (Harap 3.3) di Kampung Padang Mengkuang dekat sini malam tadi.

Yang turut hadir, Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Nasaruddin Daud; Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat; dua timbalannya Dr. Alias Razak dan Yahaya Ali serta barisan kepemimpinan Pas negeri.

TAGS