Pas tak mahu menangguk di air keruh takut perahu tenggelam, kata Abdul Hadi

Pas tak mahu menangguk di air keruh takut perahu tenggelam, kata Abdul Hadi

Pas yang telah selesai menghadapi masalah dalaman tidak akan menangguk di air keruh dengan mengambil peluang daripada krisis parti kawan dan lawan, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pas yang telah selesai menghadapi masalah dalaman tidak akan menangguk di air keruh dengan mengambil peluang daripada krisis parti kawan dan lawan, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam kenyataan media yang ditujukan kepada ahli dan penyokong Pas, Abdul Hadi menegaskan bahawa politik yang berlandaskan Islam wajib berakhlak bagi mencapai kemenangan, bersama hikmah yang berhidayah kerana politik yang diperjuangkan Pas ada perhitungan dosa dan pahala.

“Matlamatnya pula tidak menghalalkan cara dan bukan untuk berlumba menjadi pemimpin semata-mata atau memikul amanah menjadi peluang untuk mengambil kesempatan bagi diri dan kroni tetapi amanah menyelamatkan umat dunia dan akhirat,” ujarnya.

Menurut Abdul Hadi, politik perlu kepada perhitungan yang amat teliti dan mendalam.

Bangga dengan prestasi Pas kini yang dianggap berjaya menyelesaikan masalah dalaman parti dengan ‘menyingkirkan masalahnya menjadi serpihan’, beliau menyedari bahawa Umno yang memerintah negara dan negeri menghadapi krisis dalaman, begitu juga dengan DAP yang ‘paling bermusuh terhadap Pas’.

“Mengapa Pas tidak bersungguh menyokong usul undi tidak percaya menjatuhkan kerajaan pusat dan khususnya Terengganu yang paling dekat laksana dicapai tangan sahaja, kerana kerusi Adun Pas yang hampir mendekati majoriti mudah?

“Mengapa tidak bersemangat menyertai himpunan yang dianjurkan oleh pakatan pembangkang yang bersemangat bergabung dengan Umno yang memprotes pemimpinnya?

“Jawapannya kepada ahli Pas dan penyokongnya, bahawa nelayan yang bijak walaupun miskin, tidak boleh menangguk di air keruh yang ikannya bercampur belut, ular dan buaya, kerana membahayakan diri dan merosakkan jala dan pukat, bahkan boleh menenggelamkan perahunya serta membahayakan diri,” kata Abdul Hadi.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, Pas lebih suka ‘menangguk di air jernih’ yang boleh dilihat manfaat dan mudaratnya walaupun terpaksa bersusah payah.

“… kerana pukat kita belum kukuh, keadaannya boleh merosakkan pukat, memutuskan tali pancing dan kita masih berperahu yang boleh ditenggelamkan dengan mudah kalau dibedal buaya atau dimasuk ke dalamnya ada yang gelikan belut boleh melumpat ke dalam dan keluar atau disengat ular sehingga mati,” ujarnya penuh kias ibarat.

Menurut Abdul Hadi, Pas bukan parti yang mengangkut penyokong dan pengundi tanpa perhitungan, makan diri kawan untuk naik, mengangkut ahli sehingga menyusahkan diri dan mencari setiap peluang tanpa perhitungan.

Pas juga tambah beliau tidak mencipta angkara sehingga menyusahkan rakyat, menghentam melulu tanpa tujuan yang betul dan menjadikan ulama dan ilmuan umpama terompah kayu bagi masuk ke tandas.

“Marilah kita pilih politik yang jernih dan matang, bukannya menangguk di air keruh yang mengelirukan dan menyusahkan semua. Sebab yang kita hadapi kini semuanya kerana penentuan kita melalui pilihan raya,” ujarnya.

TAGS