PAS Terengganu anggap cadangan persempadan semula satu konspirasi

PAS Terengganu anggap cadangan persempadan semula satu konspirasi

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

PAS Terengganu akan membuat bantahan besar-besaran terhadap persempadanan baru pilihan raya yang disifatkan sebagai tidak lojik.

Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Terengganu Haji Hanafiah Mat berkata ia adalah satu konspirasi yang sengaja dilakukan.

“Tidak masuk akal, kita akan adakan bantahan besar-besaran. Kita merasakan ada tangan-tangan ghaib dibelakang,
yang sengaja mahu DUN-DUN yang dimenangi PAS kalah,”tegasnya sebagaimana dilaporkan oleh Buletin Online, media milik Pas Terengganu.

ADUN Chukai itu berkata, PAS akan memanggil satu mesyuarat segera bagi membincangkan tindakan lanjut yang akan diambil menangani konspirasi itu.

Di Selangor, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua menyifatkan persempadanan pilihan raya yang dipamirkan mulai hari ini adalah satu ‘gerrymandering’.

Garrymandering adalah satu proses penyusunan kawasan pilihan raya untuk menguntungkan sesetengah pihak atau parti dengan cara mengubahsuai kawasan sempadannya.

“Cadangan ini mengesahkan ketakutan rakyat Malaysia selama ini bahawa SPR akan memenuhi objektifnya untuk memastikan Barisan Nasional (BN) menang kerajaan persekutuan,” kata ahli parlimen Pertaling Jaya Utara (PJU) itu dalam kenyataannya.

Menurut Tony, contoh paling jelas adalah kawasan beliau sendiri PJU yang kini ditukarkan namanya kepada Damansara.

Dalam cadangan ini, kawasan parlimen “Petaling Jaya Utara (PJU)” akan dinamakan sebagai “Damansara” yang akan menjadi kawasan parlimen yang paling ramai pengundi iaitu 150,439, penambahan 76.2% dari 85,401 pengundi berdaftar semasa pilihan raya umum 2013.

Damansara, katanya, akan menggantikan Kapar sebagai kawasan paling ramai pengundi di mana Kapar akan berkurangan pengundi sebanyak 30.3% iaitu turun dari 144,159 kepada 100,456 pengundi berdaftar.

“Bagaimana SPR boleh mempertahankan tindakannya menaikkan jumlah pengundi sehingga 76.2% di kawasan saya, dan menjadikannya kawasan paling besar jumlah pengundi di negara ini dan dalam masa yang sama mengurangkan jumlah pengundi paling ramai sebelum ini sebanyak 30%.

“Hanya satu sebab saja dari tindakan SPR ini, iaitu untuk menambah jumlah majoriti kawasan yang tidak mungkin di menangi BN dan mengurangkan majoriti kawasan yang BN boleh menang,” kata Tony dalam kenyataannya.

TAGS