Pas tidak bermain di ruang sempit, kata Tuan Ibrahim

Pas tidak bermain di ruang sempit, kata Tuan Ibrahim

Menjawab kritikan umum terhadap kehadiran para pemimpinnya pada program yang dihadiri perdana menteri dan pemimpin Umno, Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti pimpinannya akan terus komited mengadakan hubungan dengan semua pihak dan 'tidak berminat bermain di ruang sempit'.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Menjawab kritikan umum terhadap kehadiran para pemimpinnya pada program yang dihadiri perdana menteri dan pemimpin Umno, Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti pimpinannya akan terus komited mengadakan hubungan dengan semua pihak dan ‘tidak berminat bermain di ruang sempit’.

 Menurut beliau, bagi memperkukuhkan blok ketiga yang merangkumi kerjasama dengan parti politik, NGO dan tokoh masyarakat, Pas akan terus mengadakan hubungan baik dengan semua pihak walaupun sikap terbuka itu tidak disenangi pelbagai pihak.

Beliau memberi contoh terbaru jemputan diterima Pas untuk menghadiri Himpunan 20K Huffaz oleh Gabungan Huffaz di Masjid Wilayah sempena penubuhan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Kebangsaan (Pinta).

“Oleh kerana majlis ini turut dihadiri Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Menteri dari Umno, tindakan Pas menghantar wakil telah menjadi bahan serangan oleh sesetengah pihak yang sengaja melihat dalam kerangka pemikiran sempit,” jelasnya.

Beliau turut mempertikaikan sama ada serangan terhadap Pas yang menghadiri program yang turut dihadiri perdana menteri itu menandakan sikap tidak bersetuju pihak terbabit dengan penubuhan Pinta.

“… ataupun mereka ingin menidakkan agenda murni Gabungan Huffaz hanya semata-mata kehadiran (Datuk Seri) Najib (Razak) dan menteri Umno selaku Perdana Menteri dan wakil kerajaan? Namun, Pas tidak berminat bermain di ruang sempit sedemikian,” katanya.

Menurutnya, Pas menyokong agenda murni dan menguntungkan Islam dan akan terus melawan Umno-BN yang zalim dengan GST, TPPA, Majlis Keselamatan Negara (MKN), skandal 1MDB dan kenaikan saman trafik.

Namun tambahnya, apabila Umno-BN melakukan kebaikan, Pas tidak akan berpolitik sempit sehingga kebaikan dan manfaat yang bakal diminati oleh mereka yang dituju ternafi hanya kerana ada kehadiran Umno-BN.

“Mendokong agenda murni yang kebetulan turut dihadiri oleh Umno-BN tidak bermakna Pas berhenti memerangi kezaliman dan ideologi Umno-BN atau memberi laluan kepada mereka di pilihan raya umum,” ujarnya.

TAGS