Pas tidak sertai program singkir Najib esok

Pas tidak sertai program singkir Najib esok

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Lajnah Politik Pas Pusat  telah mengambil keputusan Pas tidak akan bersama dengan pihak terbabit dalam Majlis Menandatangani Deklarasi Menuntut Penyingkiran Perdana Menteri Malaysia yang dijangka diadakan pada hari Jumaat ini.

Keputusan itu dinyatakan menerusi deklarasi khas yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam mesyuaratnya pada hari ini di Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut, di sini,

Menerusi deklarasi itu, Takiyuddin dipetikmenerusi saluran media rasmi parti berkata, keputusan untuk tidak menyertai program itu dibuat kerana Pas mempunyai pendekatan dan gerakan tersendiri khususnya melalui Blok Politik Ketiga ke arah mengubah kepimpinan negara yang ada pada hari ini melalui saluran yang demokrasi dan berperlembagaan.

Selain itu, katanya, Pas mengambil keputusan untuk menghadap Majlis Raja-Raja bagi menyembah cadangan supaya satu Suruhanjaya D’Raja dibentuk bagi mengadakan siasatan yang menyeluruh terhadap isu-isu 1MDB, Dana Politik RM2.6 billion, Skandal SRC International dan isu-isu lain yang berkaitan sebagaimana juga yang telah dititahkan oleh Persidangan Majlis Raja-Raja baru-baru ini.

Dalam hal ini juga, Pas konsisten dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera sebagai suatu formula untuk melakukan perubahan total dalam sistem pemerintahan negara,” tegas Takiyuddin.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau mengenai keputusan itu.

DEKLARASI MENUNTUT PERDANA MENTERI DISINGKIRKAN

1. Pas menghargai pelawaan YABhg. Tun Dr Mahathir untuk Pas sama-sama hadir dalam Majlis Menandatangani Deklarasi Menuntut Penyingkiran Perdana Menteri Malaysia yang dijangka diadakan pada hari Jumaat ini.

2. Sehubungan dengan perkara tersebut, Pas mengambil keputusan untuk tidak bersama dalam program tersebut kerana Pas mempunyai pendekatan dan gerakan tersendiri khususnya melalui Blok Politik Ketiga ke arah mengubah kepimpinan negara yang ada pada hari ini melalui saluran yang demokrasi dan berperlembagaan.

3. Melihat kepada suasana politik, ekonomi dan sosial negara yang amat gawat disebabkan urustadbir negara yang tidak keruan, maka Pas mengambil keputusan untuk menghadap Majlis Raja-Raja bagi menyembah cadangan supaya satu Suruhanjaya DiRaja dibentuk bagi mengadakan siasatan yang menyeluruh terhadap isu-isu 1MDB, Dana Politik RM2.6 billion, Skandal SRC International dan isu-isu lain yang berkaitan sebagaimana juga yang telah dititahkan oleh Persidangan Majlis Raja-Raja baru-baru ini.

4. Dalam hal ini juga, Pas konsisten dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera sebagai suatu formula untuk melakukan perubahan total dalam sistem pemerintahan negara.

5. Bagi menyelesaikan polimik semasa yang tiada penghujungnya kini serta keengganan Kerajaan mengambil kira pandangan semua pihak, Pas menuntut supaya Parlimen Malaysia dibubarkan segera bagi membolehkan Pilihanraya Umum diadakan dengan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat bagi menggantikan Kerajaan Pusat hari ini yang terpalit dengan pelbagai skandal dan kelemahan urus tadbir.

6. Selaras dengan itu, PAS mengajak seluruh rakyat untuk bersama PAS dan Blok Politik Ketiga sebagai Alternatif menggantikan kerajaan hari ini ke arah membina negara Malaysia yang lebih baik, sejahtera dan cemerlang

TAGS