Pas tolak orang politik dilantik Gabenor BNM

Pas tolak orang politik dilantik Gabenor BNM

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tuan Ibrahim Tuan Man 1Pas hari ini menyatakan pendirian parti itu untuk menolak pelantikan seorang ahli politik menerajui jawatan sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM)

Ini kerana BNM satu-satunya institusi yang masih dipercayai rakyat Malaysia, perlu bebas daripada sebarang pengaruh politik.

Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, calon yang menggantikan Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mestilah dikalangan individu yang bebas politik dan tidak pernah melibatkan diri di dalam kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mana-mana parti politik untuk menjaga imej dan integriti BNM.

“Sejajar dengan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah yang diura-urakan akan menjadi calon potensi menggantikan Zeti adalah tidak sesuai untuk mengekalkan keyakinan rakyat dan antarabangsa terhadap BNM.

“Gabenor yang baru mestilah seorang yang berani dan tegas, adil, berpihak pada kebenaran dan berkemampuan seperti Zeti untuk melakukan perkara yang betul apabila berdepan dengan isu seperti 1MDB dan ekonomi yang mencabar.

“Pas bersetuju dengan Zeti dan justeru melihat kenyataan Zeti sendiri bahawa BNM perlu kekal sebagai badan bebas daripada sebarang pengaruh politik bukan sekadar peringatan malah ia adalah amaran kepada kerajaan untuk melupakan kecenderungannya dalam mencabuli kebebasan BNM.

“Sehingga kini, PM masih tidak memberikan sebarang petanda bahawa beliau bersetuju dengan Zeti dalam perkara ini.

“Rakyat menanti jaminan PM bahawa Bank Negara akan bebas dari campur tangan ahli politik. Jaminan ini sangat penting bagi membina keyakinan pelabur luar dan integriti BNM dapat dipertahankan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

TAGS