Pas ungkit pengalaman dikhianati PKR dan DAP

Pas ungkit pengalaman dikhianati PKR dan DAP

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menganggap pengalaman parti itu dikhianati banyak pihak termasuk PKR dan DAP dalam kerjasama politik sebagai perkara penting menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menganggap pengalaman parti itu dikhianati banyak pihak termasuk PKR dan DAP dalam kerjasama politik sebagai perkara penting menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Berceramah dalam program anjuran Badan Perhubungan Pas Negeri Selangor di Sungai Buloh malam tadi, beliau menyifatkan semua pengalaman tersebut bermula sejak dengan Parti Negara lagi mengajar Pas tentang makna kerjasama politik.

“Saya ulang sejarah ini bukan hendak timbulkan kemarahan. Kita kena tengok ke belakang. Cermin kereta kita yang depan hanya satu. Cermin belakang ada tiga – cermin tengah, cermin kiri, kanan bermakna melihat ke belakang lebih penting daripada melihat ke depan. Tengok ke belakang untuk jalan ke depan,” ujarnya di tapak pasar malam Paya Jaras.

Mengimbas kejatuhan kerajaan negeri Perak daripada blok pembangkang ketika itu, Pakatan Rakyat pada 2009 pula, beliau berkata, Pas telah menyerahkan berpuluh kerusi kepada PKR untuk ditandingi dalam kerjasama dengan parti itu termasuk duit dan kerahan jentera pilihan raya.

“Sayangnya bila menang, yang khianat bukan Pas. Ingat di Perak, yang khianat bukan Pas, yang khianat dan menumbangkan kerajaan negeri Perak adalah DAP dan PKR.

“Walaupun saya tahu DAP tidak setuju tindakan (lompat parti), PKR tidak setuju dengan tindakan ahli yang lompat parti hingga tumbang kerajaan yang dipilih oleh rakyat,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jengka hanya sepenggal itu turut menganggap DAP telah ‘menendang’ Pas ketika dalam tempoh kerjasama.

“Kita menang di Selangor, apa yang DAP buat pada Pas? DAP harus belajar di Selangor. Kita menang atas semangat kerjasama ketiga-tiga parti. Kita bekerja keras. Bila menang (PRU13), mereka tendang Pas keluar. Mereka pecat seluruh jentera parti,” katanya.

Menurutnya, pengalaman kerjasama Pas dengan pelbagai parti politik juga pernah dengan BN walaupun ahli dan penyokong Pas sebelum itu mengalami pelbagai bentuk penindasan.

“Bahkan pengalaman Pas pernah kerjasama dengan BN. Tak mengapa walaupun Umno khianat buat berbagai-bagai (penindasan) pada orang Pas. Biasiswa dibatalkan. Bantuan sekolah tidak diberi. Jalan yang dibuat tidak ditar depan rumah orang pas. Tandatangan wakil rakyat Pas tidak laku. Ahli Pas tidak dapat layanan walaupun dipilih secara demokrasi,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menganggap Pas hanya akan bekerjasama dengan parti yang “pandai menghormati” parti tersebut sekaligus dilihat memberi gambaran menolak sama sekali kerjasama politik dengan Amanah.

“Tak boleh dalam kerjasama, kita naik kita hentam kawan kita. Saya sebut perkara ini untuk kita memahamai apa sedang berlaku hari ini. Tiap-tiap hari Pas dihentam. Paling dukacita rakan tahaluf yang kita masih ada kerjasama (PKR) menghentam kita.

“Parti Amanah yang ditubuhkan tiap-tiap hari isytihar akan bertanding di semua kerusi Pas tetapi minta Pas kerjasama dengan dia. Isytihar akan tawan Kelantan daripada Pas tapi minta kerjasama dengan Pas.

“Kita bukan menjadi anak panggung untuk dipijak untuk naik ke atas. Kita tidak akan jadi batu loncatan untuk orang pijak kepala kita. Kita hanya akan bekerjasama dengan parti yang pandai menghormati kita,” tegas Ahli Majlis Syura Ulamak Pas itu lagi.

Walaupun tanpa kehadiran pemimpin Amanah dan DAP, ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Sivarasa Rasiah yang juga Ahli Parlimen Subang hadir bahkan berada di pentas dengan kemuncak ceramah itu adalah ucapan daripada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

TAGS