Pas yakin RUU Akta 355 dibentang sebelum parlimen berakhir Khamis

Pas yakin RUU Akta 355 dibentang sebelum parlimen berakhir Khamis

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga ahli parlimen Marang masih menaruh keyakinan usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di parlimen.

“Insya Allah, kita masih lagi berusaha untuk dibawa ke parlimen. Sehingga ini kita telah berjaya mencapai bacaan kali yang pertama. Kali yang pertama ini kita belum lagi dapat mengemukakan hujah.

“Kali ini kita dapat bacaan kali kedua. Kedua ini diberi peluang untuk berhujah termasuklah daripada penyokong, termasuk pembangkang yang tidak setuju boleh kemukakan hujah-hujah mereka.

“Dan itu terpulang kepada speaker untuk memberi peluang semasa perbahasan,” kata Adun Rhu Rendang itu ketika ditemui media di sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu semalam.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Datuk Dr Khairuddin Aman Razali ketika ditemui di perkarangan Dewan Rakyat semalam turut menaruh keyakinan yang sama.

Beliau yakin usul itu akan dibentang memandangkan masih terdapat dua hari lagi sebelum sidang parlimen berakhir.

“Insha Allah. Hari ini dan esok kerajaan kena habiskan belanjawan. Kita ada Rabu dan Khamis lagi. Kita yakin.

“Tunggu dan lihat. Saya yakin 500 peratus. Insha Allah,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.

Usul rang undang-undang Akta 355 dibawa Abdul Hadi melalui peruntukan rang undang-undang persendirian yang perlu dicadangkan oleh menteri untuk dibahaskan sebelum speaker membuat ketetapan mengenainya.

Usul itu diletakkan pada nombor empat peraturan mesyuarat pada hari pertama sidang Dewan Rakyat kali ini namun tidak sempat dibentang atau dibahaskan.

Ia kemudian berada pada kedudukan lebih ke bawah pada hari kedua sehinggalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2017 pada 21 Oktober lalu.

TAGS