Patuhi prinsip MABT elak Orang Asli teraniaya, kata bekas Pesuruhjaya Suhakam

Patuhi prinsip MABT elak Orang Asli teraniaya, kata bekas Pesuruhjaya Suhakam

Kerajaan negeri dan jabatan berkaitan harus memahami hak Prinsip Persetujuan Makluman Awal, Bebas dan Telus (MABT) yang menjadi syarat kepada semua bentuk pensijilan komersil melibatkan tanah adat Orang Asli, tegas bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Muhammad Sha'ani Abdullah.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Muhammad Sha'ani AbdullahKerajaan negeri dan jabatan berkaitan harus memahami hak Prinsip Persetujuan Makluman Awal, Bebas dan Telus (MABT) yang menjadi syarat kepada semua bentuk pensijilan komersil melibatkan tanah adat Orang Asli, tegas bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Muhammad Sha’ani Abdullah.

Menurutnya, prinsip MABT memberi ruang kepada sesuatu komuniti untuk berhak bersetuju atau tidak bersetuju terhadap mana-mana cadangan projek yang akan memberi kesan ke atas pemilikan tanah yang diduduki atau diguna secara adat.

“Persetujuan MABT adalah untuk mewujudkan penyertaan dan perundingan dari bawah ke atas dalam kalangan Orang Asli sebelum memulakan pembangunan di atas tanah adat atau menggunakan sumber di wilayah tanah adat Orang Asli,” jelasnya kepada Malaysia Dateline.

Mengulas situasi getir dialami masyarakat Orang Asli Suku Temiar di pedalaman Gua Musang akibat aktiviti pembalakan melampau, beliau menyifatkan MABT adalah sebahagian asas proses demokrasi bagi mengelak hak dan kepentingan komuniti itu teraniaya.

“Kalau segala peruntukan tahunan jabatan diagihkan kepada keluarga di bawah paras kemiskinan, tentu masyarakat Orang Asli tidak perlu berdemonstrasi atau membuat sekatan (blockade) di laluan balak demi menuntut hak mereka,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua ahli parti politik yang bercita-cita memanjat tangga kuasa supaya mendalami konsep dan prinsip hak asasi manusia supaya benar-benar faham untuk memperjuangkan hak rakyat.

“Kanun Tanah Negara juga ada peruntukan lebih kurang seperti MABT tetapi pihak-pihak terlibat tidak mendedahkan notis awal secara meluas kerana mahu mengelak bantahan awal.

“Ramai wakil rakyat yang duduk di PBT (pihak berkuasa tempatan) gagal menyampaikan maklumat atau pelan rancangan kepada pengundi yang juga pembayar cukai,” ujarnya.

Akibatnya, Sha’ani berkata, proses MABT menjadi sekadar formaliti kerana keputusan telah pun dibuat walaupun di peringkat cadangan padahal MABT bermakna termasuk untuk tidak setuju dengan cadangan projek.

“Jika mana-mana parti politik mengaku mendukung demokrasi, mereka harus mendukung proses MABT di semua peringkat membuat keputusan.

“Projek-projek yang tidak mematuhi MABT dipanggil pencerobohan pembangunan (development aggression) oleh Orang Asli. Isu kekurangan akses kepada akauntabiliti dan mekanisme aduan Orang Asli untuk menangani pencabulan hak asasi manusia telah secara rasmi dibangkitkan dengan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” tegasnya lagi.

TAGS