PDRM syor kerajaan pinda dasar dadah negara

PDRM syor kerajaan pinda dasar dadah negara

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesyorkan kepada kerajaan agar dasar dadah negara dipinda dengan turut memberi penekanan kepada pengedar dadah secara kecil-kecilan dalam usaha memerangi dadah secara holistik.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata perkara itu telah dibentangkan di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan ia sedang diteliti kerana pindaan itu akan melibatkan kos infrastruktur kerana perlukan pertambahan pusat tahanan.

“Jadi bila kita masukkan ini dalam strategi kita, kita perlu wujudkan pusat-pusat tahanan, kita juga mungkin perlu minta mahkamah bicarakan kes dengan segera supaya kes dapat segera diselesaikan sekaligus kegiatan golongan pengedar ini dapat dibendung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Syarahan Umum CEO Faculty Programme 2016 mengenai ‘Menerajui Advokasi Ke arah Keselamatan Negara Yang Dilestarikan Dalam Era Teknologi Dunia Tanpa Sempadan’, di sini hari ini.

Khalid berkata kes melibatkan pengedaran dadah di peringkat bawahan biasanya tidak diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dan apabila disabitkan mereka hanya menjalani hukuman bagi tempoh sekejap dan apabila bebas kembali jalankan kegiatan itu.

TAGS