Pecat ahli Umno terlibat serangan ke atas MP di Parlimen

Pecat ahli Umno terlibat serangan ke atas MP di Parlimen

Umno patut memecat ahlinya yang terlibat dalam rusuhan di perkarangan lobi Parlimen Khamis lalu yang disifatkan sebagai melampaui batas.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Umno patut memecat ahlinya yang terlibat dalam rusuhan di perkarangan lobi Parlimen Khamis lalu yang disifatkan sebagai melampaui batas.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook turut menggesa agar Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman dikenakan tindakan disiplin oleh Umno ekoran dakwaan menaja kumpulan rusuhan terbabit.

“Tidak ada sesiapa yang dibenarkan mengganggu Parlimen. Malah, saya yakin pemimpin dari pihak kerajaan (Barisan Nasional) juga bersetuju dengan perkara ini. Mereka patut rasa malu,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat DAP semalam.

Sekumpulan individu dari Pasir Salak yang dipercayai diketuai oleh anak Tajuddin merusuh dan menyerang Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad ekoran kenyataan “sial” yang dilemparkan Khalid sebagai tindak balas terhadap kenyataan seksis Tajuddin.

Tajuddin pada Isnin lepas menggelar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai satu-satunya perempuan yang ada ‘kok’ sehingga mengundang kecaman beberapa anggota Parlimen pembangkang yang menuntut supaya beliau menarik semula kenyataan itu.

Polis, dalam pada itu, telah mengarahkan supaya 10 individu termasuk anak Tajuddin menyerah diri kepada polis pada jam dua petang tadi atau tindakan penahanan akan diambil.

Mengulas lanjut, Anthony yang juga Setiausaha Organisasi DAP berkata, kekecohan seumpama itu tidak akan terjadi sekiranya Tajuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno menarik balik kenyataan seksisnya dan memohon maaf kepada Teresa pada hari kejadian.

“Jangan buat sebarang kenyataan berbaur seksis di Parlimen, beliau mungkin bermaksud untuk berjenaka, tapi jenaka sedemikian tidak boleh diterima,” ujarnya.

Bagaimanapun, Umno menegaskan parti itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan itu.

“Saya menegaskan bahawa ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Umno atau apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh kepimpinan parti,” kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur dalam kenyataan, semalam.

Beliau turut berkata, Umno tidak menyokong apa-apa tindakan yang berunsurkan kepada pergaduhan atau pertelingkahan sambil menambah mendukung serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan sedia ada.

Bagaimanapun katanya, Umno memandang serius terhadap sikap anggota parlimen yang menggunakan perkataan kesat dan memberikan gelaran berbaur negatif sehingga mengundang kemarahan ahli Parlimen lain.

“Umno menyelar tindakan sedemikian yang dianggap tidak rasional dan tidak matang malah bertentangan dengan etika dan sikap selaku wakil rakyat,” tambahnya.

TAGS