Pecat pemimpin wanita dalam Umno cauvinis lelaki, kata Wanita Amanah

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) menyifatkan tindakan memecat aktivis dan pimpinan politik wanita dalam Umno sekarang sebagai cauvinis lelaki.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) menyifatkan tindakan memecat aktivis dan pimpinan politik wanita dalam Umno sekarang sebagai cauvinis lelaki.

Ketua AWAN, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Majlis Tertinggi Umno hanya berani memecat pimpinan wanita dan bukan pimpinan lelaki yang jauh lebih lantang mengkritik presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman yang dipecat daripada keahlian dan jawatan parti.

Selain Hamidah, seorang lagi wanita Umno, Anina Saaduddin yang turut dipecat daripada keahlian parti menunjukkan bahawa pimpinan lelaki sedar pengaruh kaum wanita amat besar dalam sesuatu organisasi.

“Kenyataan ini tidak berniat untuk campur tangan urusan Umno tetapi saya memuji Datuk Hamidah kerana keberaniannya menegur pimpinan dan berkata benar kerana sayangkan organisasinya,” kata beliau kepada Malaysia Dateline hari ini.

Hamidah dipecat kerana menghadiri satu majlis bersama bekas Presiden Umno,  Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hamidah sebelum ini lantang mengkritik pentadbiran Najib dan mendesak Perdana Menteri meletak jawatan, selain mempersoalkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Sekiranya mereka dibiarkan bercakap maka lebih ramai lagi yang akan mengikut jejak langkah keberanian mereka,” kata beliau yang juga ahli Parlimen Kota Raja.

Anina yang merupakan  ahli Pergerakan Wanita Umno cawangan Padang Matsirat, Langkawi dipecat daripada keahlian Umno September lalu selepas  lantang mengkritik Najib ketika berucap dalam mesyuarat perwakilan Wanita Umno Bahagian Langkawi.

Beliau turut  memfailkan saman di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menuntut Najib menjelaskan secara terperinci derma politik RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau.

Menurut Siti Mariah juga,  wanita memainkan peranan yang penting dalam memastikan organisasi berada di atas landasan yang betul dan pimpinan bercakap serupa bikin.

“Memang teguran kepada pimpinan wajar dibuat melalui saluran dalaman dahulu tetapi jika tidak juga ada perubahan atau respons yang positif maka teguran secara terbuka adalah satu tindakan yang wajar,” katanya.

Justeru Siti Mariah menyeru pimpinan wanita lain agar menjadikan keberanian Hamidah dan Anina sebagai contoh untuk terus menegur kepincangan dalam parti.

“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada di atas keberanian mereka. Patut menjadi contoh kpd pimpinan sayap wanita parti parti lain dlm negara. Berani menegur demi kebenaran dan tidak hanya jadi pak angguk,” katanya.

TAGS