Pegawai bersekutu APM main peranan sebelum, semasa dan selepas bencana

Pegawai bersekutu APM main peranan sebelum, semasa dan selepas bencana

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang dilantik berperanan memberi khidmat kaunseling kepada warga penyelamat dan mangsa yang trauma semasa dan selepas bencana.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APM Datuk Selamat Dahalan berkata lantikan Pegawai Bersekutu Kumpulan adalah dari kalangan kakitangan Institusi Pengajian Awam dan swasta serta Kolej Komuniti (JPKK) Negeri Sembilan.

“Ketika ini, penglibatan Pegawai Bersekutu bersempena dengan ‘Bulan Kesiapsiagaan Nasional’ sepanjang Oktober ini lebih kepada kerja-kerja sebelum, semasa dan selepas bencana.

“Penglibatan golongan ini juga melibatkan kajian serta khidmat nasihat kepada persediaan dan persiapan menghadapi kecemasan dan bencana seperti memberi khidmat kaunseling kepada warga APM dan mangsa yang mengalami trauma semasa atau selepas bencana.

“Dengan pelantikan ini, maka Pegawai Bersekutu diharap telah bersedia memikul tanggunjawab membantu APM dalam melaksnaakan sebarang aktiviti kesedaran menghadapi kecemasan dan bencana kepada rakyat,” katanya semasa berucap pada majlis Pemakaian Pangkat dan Penyerahan Watikah Perlantikan Pegawai Bersekutu, Pegawai Pasukan dan Pegawai Tidak Bertauliah di sini hari ini.

Selamat berkata peluasan penglibatan golongan intelektual dalam kalangan warga IPT digalakkan selaras dengan pindaan Akta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia 1951 (Akta 221) pindaan 2016 yang mula berkuat kuasa 1 Sept ini di bawah Seksyen 7G.

“Dengan perlantikan itu, tuan-tuan dan puan-puan akan menjadi contoh ikutan kepada pegawai, kakitangan bawahan dan pelajar itu sendiri,” katanya.

“Sumbangan keringat dan khidmat nasihat tuan-tuan amat diperlukan dalam melaksanakan tugas pengurusan dan latihan pasukan mahupun operasi menyelamat bagi membentuk satu organisasi APM yang mantap dan efisien,” katanya.

Sehingga kini, dianggarkan kira-kira 3,500 telah dilantik sebagai pegawai kehormat dan bersekutu di seluruh nergara melibatkan empat kategori, iaitu akademik, politik, koporat dan kementerian.

Pada majlis itu, 67 pegawai dan anggota dianugerahkan pangkat dan watikah termasuk lantikan Pegawai Pasukan Pertahanan Awam dan lantikan lain-lain pangkat anggota APM.

TAGS