Pegawai penguatkuasa agama perlu cerminkan sifat berhemah, titah Sultan Perak

Pegawai penguatkuasa agama perlu cerminkan sifat berhemah, titah Sultan Perak

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Para pegawai penguatkuasaan agama perlu mencerminkan keindahan Islam dengan sifat-sifat berhemah ketika memenuhi tugas, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah dalam melaksanakan sesuatu operasi, pegawai penguatkuasaan agama juga perlu mengamalkan pendekatan berdakwah untuk menyeru ke jalan kebaikan, memanggil pihak yang melakukan kesilapan untuk diberikan nasihat secara tertutup serta mengaturkan sesi bimbingan dan kaunseling.

“Modus operandi kakitangan penguatkuasaan Jabatan Agama Islam hendaklah berpandukan pendekatan preventif dan bukannya pendekatan punitif,” titah baginda pada Majlis Pelancaran Logo dan Pelan Strategik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di hari ini.

Sultan Nazrin bertitah pegawai penguatkuasaan agama berada di barisan hadapan dan mereka terdedah kepada penilaian umum.

Justeru, titahnya perbuatan para pegawai penguatkuasaan yang memperlihatkan kuasa sehingga meminggirkan adab, tertib dan sopan, bukanlah budaya yang dianjurkan oleh Islam.

“Tindakan secara kasar dan keras, merendah-rendah dan memperkecilkan hingga mengakibatkan orang merasa terhina, dizalimi dan diaibkan termasuk secara lisan tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana pegawai penguatkuasaan agama,” titahnya.

Sultan Nazrin bertitah para pendukung amanah wajib diserahkan kepada mereka yang ahli dalam bidangnya, menghormati hukum dan melaksanakan hukum secara adil pada setiap masa tanpa memilih kasih dan berasa gentar.

“Tugas wajib disempurnakan secara berhemah, terutama dalam kalangan mereka yang telah diamanahkan dengan kuasa,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda bertitah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) turut mengambil langkah merangka pelan strategik untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Pelan strategik ini ialah komponen pengisian yang mengandungi rangka kerja tindakan untuk mencapai misi dan objektif MAIPk,” titahnya.

TAGS