Pegawai Rasuah: DPPM pula gesa Khairy letak jawatan

Pegawai Rasuah: DPPM pula gesa Khairy letak jawatan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPMM) mendesak supaya Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berundur dan meletakkan jawatan pada kadar segera kerana terbukti gagal untuk memastikan wang rakyat diurus dengan sebaik mungkin.

Ketua Penerangan DPMM, Ahmad Fadhli Shaari berkata, penyelewengan dilakukan pegawai dari kementerian terbabit satu kelemahan yang tidak boleh dimaafkan walaupun Khairy mengakui suspek terbabit menggunakan prosedur yang tidak memerlukan kelulusan dari pihak atasan.

“Adalah merupakan satu perkara yang sangat menyedihkan apabila dilaporkan bahawa pegawai berkenaan telah hidup mewah hasil rasuah dengan membeli kereta mewah, jam berjenama, barang kemas dan unit-unit saham dalam satu tempoh masa yang agak lama.

“Adakah perkara sebegini tidak pernah menimbulkan tanda tanya di kalangan warga Kementerian sehingga pihak pengurusan boleh ditipu begitu sahaja? Di manakah sistem pemantauan yang disediakan bagi memastikan setiap urusan tuntutan sesuai dengan program yang dijalankan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Khairy perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas penyelewengan dana berkenaan yang turut membawa kepada penahanan beberapa suspek yang dipercayai kontraktor pemberi rasuah.

“Adalah amat mustahil penyelewengan sebesar ini berlaku dalam masa yang singkat dan tanpa konspirasi dari pentadbiran tertinggi Kementerian,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat siasatan secara telus dan adil tanpa sebarang campur tangan oleh pihak atasan hanya akan dapat dijalankan sekiranya menteri berkenaan meletakkan jawatan terlebih dahulu.

“Tanpa pengunduran dari Menteri Belia dan Sukan, tiada sebarang jaminan siasatan dapat dilaksanakan dengan telus apatah lagi jika benar andaian bahawa sebahagian daripada hasil penyelewengan berkenaan diperuntukkan untuk ‘aktiviti politik’ parti-parti tertentu,” tambah Ahmad Fadhli lagi.

Sebelum itu Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil  juga dilaporkan berkata, Khairy tidak seharusnya berdiam diri dan hanya mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian itu.

Ujarnya imej KBS kini sudah tercemar, dalam konteks demokrasi yang progresif, langkah terbaik buat beliau sekarang ialah untuk berundur dan meletakkan jawatan pada kadar segera,” katanya menerusi kenyataan media semalam.

 

TAGS