Pegawai rasuah : SPRM perlu siasat Khairy, kata Pemuda Amanah

Pegawai rasuah : SPRM perlu siasat Khairy, kata Pemuda Amanah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin perlu disiasat membabitkan rasuah yang dilakukan oleh pegawai di kementeriannya, kata Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional Faiz Fadzil.

Beliau berkata, Khairy juga perlu disiasat bagaimana skandal seperti itu boleh didakwa dilakukan oleh pegawai di kementeriannya.

“Ini adalah kerana program-program yang didakwa tidak dilaksanakan atau tidak wujud dikatakan dianjurkan oleh kementeriannya.

“Adakah beliau tidak tahu perkara ini atau hanya membiarkan sahaja ianya berlaku?

“Siasatan sebegini penting bagi membersihkan KBS daripada apa-apa elemen jenayah rasuah dan penyelewengan dana awam.

“Seksyen 25 akta SPRM 2009 menjadikan kegagalan melaporkan sesuatu perbuatan rasuah sebagai satu kesalahan. Justeru, beliau boleh disiasat.

“Sepertimana ucapan Khairy dalam perasmian Perhimpunan Agung Pemuda Umno yang lalu di mana beliau tidak akan memekakkan telinga terhadap isu penyelewengan, Pemuda Amanah dengan ini menuntut Khairy supaya tidak membisu daripada menjelaskan isu ini serta telus untuk disiasat,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Faiz berkata, selepas isu tajaan RM 1.4 juta membabitkan 191 orang Exco Pemuda dan dan Ketua Pemuda Bahagian Umno mengerjakan umrah sepertimana pendedahan oleh salah seorang Exco Pemudanya Nazir Hussin Akhtar Hussin, kini salah seorang pegawai KBS pula ditahan pihak SPRM untuk siasatan skandal penyelewengan dana KBS sebanyak RM 100 juta.

“Laporan siasatan tersebut amat memeranjatkan rakyat negara ini kerana di saat tahap kualiti sukan negara merosot dan dikritik, skandal ini mendedahkan bagaimana tuntutan kontraktor dibayar melalui MSN untuk program anjuran KBS yang tidak dijalankan atau tidak wujud.

“RM 100 juta adalah satu jumlah yang besar yang seharusnya dibelanjakan dengan penuh berhemah bagi menjalankan program pembangunan sukan yang merupakan segmen penting pembangunan negara.

“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap anak muda, masalah pengangguran lebih 400,000 graduan negara ini boleh diatasi jika jumlah ketirisan tersebut dimanfaatkan sebagai insentif perniagaan di kalangan anak muda.” ujarnya.

 

TAGS