Pegawai SPRM serbu pejabat Exco Kerajaan P. Pinang

Pegawai SPRM serbu pejabat Exco Kerajaan P. Pinang

Lima pegawai Suruhanjaya

Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerbu pejabat anggota Exco kerajaan negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh di Tingkat 53, bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini.

Serbuan itu dipercayai bagi membantu siasatan berhubung kes sebuah kilang beroperasi secara haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lepas.

Lima pegawai itu tiba di pejabat Phee kira-kira 11.30 pagi.

Semalam, SPRM mengambil beberapa dokumen dari pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sepasukan pegawai SPRM tiba di bangunan MPSP kira-kira 10.30 pagi dan beredar dari pejabat pihak berkuasa tempatan itu bersama beberapa dokumen berkaitan kira-kira tiga jam kemudian.

Menurut sumber, dokumen itu diambil bagi membantu siasatan kes kilang memproses serbuk kayu yang beroperasi sejak 10 tahun lepas dikatakan tanpa permit di atas tanah berstatus tanah pertanian.

Isu berhubung kilang haram itu pernah dibangkitkan Anggota Dewan Undangan Negeri Penanti Dr Norlela Ariffin pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang mendakwa banyak kilang haram dibiar beroperasi di Penanti tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan negeri pimpinan DAP malah sesetengah kilang itu tidak mengikut garis panduan keselamatan, selain tidak mematuhi prosedur alam sekitar.

TAGS