Pekerja balak mesti keluar, kerajaan negeri usah angkuh, gesa aktivis

Pekerja balak mesti keluar, kerajaan negeri usah angkuh, gesa aktivis

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Rata-rata aktivis menyifatkan reaksi pihak kerajaan negeri Kelantan terutama Menteri Besar dan Timbalannya berkenaan isu pembalakan di bahagian hulu negeri itu sebagai tidak bertanggungjawab.

Koordinator Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM), Tijah Yok Chopil berkata, kedua-dua pemimpin itu harus melakukan pendekatan lebih bersifat kemanusiaan sesuai dengan imej kepimpinan Islam mereka.

“Jangan keluarkan kenyataan yang lebih menampakkkan kelemahan termasuk buat serangan peribadi dan menuduh Orang Asli tidak ikut saluran betul.

“Menteri besar dan Timbalannya kena ingat kesan pembalakan ini bukan kena pada Orang Asli yang tinggal di hulu Kelantan bahkan hujung tahun nanti tidak mustahil kesan buruk pembalakan tidak terkawal ini akan sampai ke Kota Bharu seperti banjir besar dua tahun lalu,” ujarnya.

Beliau yang ketika ditemui Malaysia Dateline baru-baru ini berkata, alasan Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
kononnya pembalakan di Hutan Balah, Gua Musang adalah berlesen sekaligus tidak menjadi masalah kepada kerajaan negeri menjalankan projek terbabit di kawasan itu amat mengecewakan.

“Jelas, kenyataan dia itu berpihak kepada syarikat pembalak. Seolah-olah itu tiket, dia pula sekarang kata Orang Asli tidak ikut saluran betul kemudian serang peribadi pula, rambut (peguam dan aktivis Siti Kasim) macam Dragon Ball. Perlukah begitu?

“Dia tidak sepatutnya begitu. Dia ulama, dia seorang Islam dan Melayu. Apa yang dia cakap dan tindakannya kena sesuailah dengan cara orang alim,” tegasnya di Gua Musang selepas tinjauan bersama di Pos Simpor, 4 dan 5 Oktober lalu.

Semua mesti keluar

Tijah Yok ChopilMenurut Tijah yang menjadi aktivis masyarakat Orang Asli lebih dua dekad lalu berkata, apa yang perlu kerajaan negeri Kelantan lakukan adalah memastikan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal Balah dihentikan buat selamanya.

“Kita tidak mahu dihentikan sekadar sementara seperti diumumkan, 3 Oktober lalu. Pastikan juga tauke dan pekerja balak termasuk segala jentera mereka keluar dari hutan itu. Semua mesti keluar.

“Harap semua pekerja balak yang masih ada dalam hutan keluar habis memandangkan aktiviti pembalakan pun sudah dibekukan walaupun sementara. Buat apa mereka tinggal di sana?

“Tauke-tauke balak masih berulang-alik ke sana. Buat apa ke sana kalau barang sudah keluar, pekerja buat apa duduk dalam itu? Kita nampak jentera keluar tetapi pekerja tidak nampak?” soalnya.

Dua das tembakan dilepaskan ketika kira-kira 30 individu daripada pihak syarikat pembalak termasuk menyamar sebagai polis mahu merobohkan penghalang jalan yang dibina Orang Asli, 28 September lalu.Mengulas insiden pergelutan antara pihak syarikat pembalak dengan Orang Asli di sekatan masuk Hutan Simpan Balah itu, 28 September lalu, beliau mengesahkan masih tiada sebarang pertemuan antara kerajaan negeri dengan masyarakat tempatan.

“Harapan saya, carilah penyelesaian yang baik sebagai seorang pemimpin Islam yang bertanggungjawab. Orang Asli juga adalah rakyat yang mesti dia jaga. Kena bincang duduk baik-baik bukan cara yang sedang dibuat. Itu bukan cara menyelesaikan masalah.

“Selepas insiden tembak itu memang tiada pertemuan tapi kerajaan negeri seolah-olah cakap Orang Asli yang tidak guna saluran betul, tidak mahu jumpa,tidak mahu bekerjasama.

“Padahal penghalang jalan yang dibina itu untuk membuka mata kerajaan supaya berjumpa dengan pihak kerajaan negeri. Selama ini mereka berusaha untuk jumpa dan bincang tetapi kerajaan yang mendiamkan diri.

“Bila Orang Asli turun ke SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri), mereka kata Orang Asli kena hasut, bila hantar surat, buat sekatan pun sama. Orang Asli dituduh dihasut, apa yang tidak dihasut?” bidas aktivis dari suku Semai yang berasal dari Perak ini.

Mohd FaizalSementara itu, aktivis Mohd Faizal dari Kuala Lumpur menyifatkan dakwaan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob kononnya sekatan dibuat Orang Asli dekat Pos Simpor menuju ke Hutan Simpan Balah itu adalah “tanpa sebab” tidak sepatutnya diucap.

Menurutnya, kenyataan Ahmad kelmarin yang dilaporkan akan memanggil agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli, Jabatan Perhutanan Negeri, Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) dan polis tanpa wakil Orang Asli juga bernada angkuh.

“Sebuah kerajaan Islam yang angkuh dan berlagak. Nilai-nilai Islam itu hanya sekadar manis di bibir tetapi tidak dizahirkan melalui amalan dan perbuatan.

“Sudah seminggu sekatan dibuat bahkan berlaku tindakan samseng dan tembakan dilepaskan oleh syarikat pembalak, kerajaan negeri masih bercakap ‘akan’ memanggil mereka terlibat tanpa berunding dengan Orang Asli?

“Mereka tahu hukum hakam yang Allah melarang manusia menindas sesama makhluk apatah lagi kepada makhluk yang lemah tapi itulah yang mereka lakukan dengan melindungi kejahatan dan penindasan

itu di sebalik agama, jubah dan serban,” tegasnya lagi kepada Malaysia Dateline.

Sementara itu, tinjauan Malaysia Dateline di lokasi, 4 dan 5 Oktober lalu mendapati beberapa lori milik syarikat pembalak dibawa keluar dari tanah adat Orang Asli Suku Temiar berkenaan.

Pihak syarikat pembalak perlu menulis butiran diri mereka di pondok pengawal Orang Asli sebelum masuk ke wilayah tanah adat milik mereka di Hutan Simpan Kekal Balah, Gua Musang.Beberapa individu yang mahu memasuki kawasan tersebut pula diwajibkan mengisi butiran di pos pengawal yang dibina pada penghalang jalan dan hanya dibenarkan masuk bagi tujuan membawa keluar jentera sahaja.

TAGS