Pelabur asing diberi subsidi, kontraktor tempatan tidak dibayar

Pelabur asing diberi subsidi, kontraktor tempatan tidak dibayar

Ibarat kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Itu situasi dialami 16 kontraktor yang telah menyiapkan pembinaan kilang dandang wap (steam boiler), NSE Energy Sdn Bhd (NSEE) di Kerteh, Terengganu ketika kerajaan boleh memberi subsidi ratusan juta ringgit kepada pelabur asing.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ibarat kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Itu situasi dialami 16 kontraktor yang telah menyiapkan pembinaan kilang dandang wap (steam boiler), NSE Energy Sdn Bhd (NSEE) di Kerteh, Terengganu ketika kerajaan boleh memberi subsidi ratusan juta ringgit kepada pelabur asing.

Wakil kontraktor terbabit, Ir Khalil Ishak berkata, pihaknya mempunyai bukti kerajaan memberi insentif hampir RM281 juta kepada dua kilang milik pelabur asing iaitu CheilJedang (CJ) Bio dari Korea Selatan dan syarikat kimia dari Perancis iaitu Arkema.

“Padahal tuntutan kami terhadap bayaran tertunggak yang sepatutnya kami peroleh berjumlah RM26 juta sehingga hari ini masih tidak dilayan sedangkan kilang NSEE itu terus menyalurkan wap kepada kedua-dua kilang milik pelabur asing itu sejak Julai 2014 lagi,” ujarnya.

Menurut Khalil, kerajaan telah memberi subsidi ammonia kepada CJ Bio sebanyak RM8.7 juta manakala RM272.2 juta pula subsidi hidrogen kepada Arkema Thiochemicals dengan masing-masing untuk tempoh 10 tahun.

“Mereka juga mendapat pengecualian cukai selama 10 tahun dan boleh tambah lagi lima tahun.

“Itu insentif-insentif yang kerajaan beri kepada pemodal asing sedangkan kami kontraktor yang telah menyiapkan pelan, loji kilang itu dengan modal, duit kami sendiri kemudiannya diambil alih oleh kerajaan tetapi kami tidak dibayar,” jelasnya pada sidang media di ibu negara pagi tadi bersama sebahagian kontraktor terlibat yang ada antaranya datang dari Terengganu.

Mengulas usaha mereka sebelum ini, beliau berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan I dan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani pada 29 Ogos lalu bagi memohon campur tangan mereka tetapi tidak mendapat maklum balas.

“E-mel turut dihantar kepada semua agensi kerajaan seperti MoF (Kementerian Kewangan), MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) dan BiotechCorp (Malaysian Biotechnology Corporation).

“Kami juga merayu pihak Miti (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) serta Mosti (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) supaya mereka dapat membantu menyelesaikan isu tunggakan bayaran berkenaan tetapi juga tiada jawapan,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya turut menghantar surat kepada CJ dan Arkema memandangkan kedua-dua pelabur asing itu difahamkan telah membayar bil wap (steam) kepada BiotechCorp setiap bulan.

“Namun, juga tidak ada jawapan. Mengapa kami sedikit pun tidak dapat bayaran? Ke mana duit itu dan mengapa tidak dibayar kepada kepada kontraktor sejak beroperasi dua tahun lepas?” ujarnya.

Sehubungan itu, Khalil menyeru supaya pihak kerajaan menyelesaikan bayaran tunggakan berkenaan memandangkan sebahagian kontraktor sedang dihimpit masalah kewangan kritikal termasuk dikejar Ah Long.

Dibayar beransur-ansur

Ir Khalil Ishak“Di manakah keadilan terhadap kami yang telah melabur wang ringgit, peralatan, titik peluh dan sebagainya demi menjaga nama negara yang tercinta?

“Kami boleh terima jika pembayaran dilakukan beransur-ansur sekalipun jika benar kerajaan mengalami masalah kewangan asalkan ada perbincangan bagaimana untuk selesaikan bukan berdiam diri terhadap segala segala surat-menyurat yang diberi,” ujarnya.

Mengulas lanjut Khalil berkata, pihaknya juga mempunyai bukti tentang komitmen kerajaan untuk membayar tunggakan berkenaan.

“Pihak kerajaan banyak bercakap tentang tata kelola tetapi tuntutan terhadap hak kami tidak dilayan. Ada pihak minta kami bersabar tetapi sudah dua tahun berlalu, sampai bila kami perlu sabar menunggu?” ujarnya lagi.

Untuk rekod, BiotechCorp melalui suratnya kepada Khalil bertarikh 19 April lalu menyatakan pihaknya “sedang berusaha untuk membantu sedaya mungkin supaya masalah ini dapat diselesaikan pada kadar segera” serta “akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa” berkenaan isu tersebut.

Surat ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif BiotechCorp, Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal itu turut memaklumkan isu bayaran tunggakan NSEE diberi sepenuh perhatian dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah Biotechcorp pada 26 Februari, 22 Mac dan 29 Mac lalu.

Namun, ujarnya, pihak Ahli Lembaga Pengarah “memerlukan sedikit masa bagi meneliti kesemua cadangan dan akan membuat keputusan dalam masa yang terdekat ini.”  

Dalam surat yang sama juga, Nazlee menyatakan Biotechcorp diberi peruntukan antara RM3 juta hingga RM5 juta sebulan bagi tujuan membiayai operasi ‘steam plant’ CJ Bio dan Arkema untuk menampung bayaran kepada Gas Malaysia Berhad.

Terdahulu, Malaysia Dateline pada 31 Julai lalu pernah melaporkan kisah salah seorang kontraktor terbabit yang merupakan seorang ibu tunggal dibebani masalah kewangan termasuk anaknya terpaksa berlapar ekoran kegagalan pihak kerajaan melunaskan tunggakan bayaran tersebut.

TAGS