Pelajar solat jamaah: Pemuda Bersatu kritik pandangan Zaid, Noor Azimah

Pelajar solat jamaah: Pemuda Bersatu kritik pandangan Zaid, Noor Azimah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Exco Pendidikan Pemuda Bersatu Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir  (gambar kiri) menyelar kritikan yang dilontarkan Datuk Zaid Ibrahim (gambar tengah) yang senada atau menyokong gesaan Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page), Datin Noor Azimah Abdul Rahim (gambar kanan) yang membidas usaha dilakukan  Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan solat berjemaah sebelum pelajar pulang ke rumah bukanlah suatu kesalahan.

Beliau berkata,  dalam subjek Pendidikan Islam di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah kurikulum Pendidikan Islam memperuntukkan waktu khusus untuk aktiviti amali solat bagi membolehkan murid-murid menghayati atau mengamalkan ilmu yang dipelajari khususnya solat fardhu.

“Saya sedar bahawa pelaksanaan yang mewajibkan pelajar menunaikan solat ini juga sedikitpun tidak bercanggah dengan dasar Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan, dan ini jelas sepertimana yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Zaid Ibrahim yang mengkritik tindakan pegawai pendidikan daerah di Pahang yang mengarahkan sekolah di Kuantan mengadakan solat berjemaah sebelum pelajar pulang ke rumah.

Bekas menteri itu merujuk kenyataan Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Mohd Razali Mustafar yang dipetik Bernama Rabu lalu sebagai berkata, sembahyang antara salah satu pengisian utama pihaknya membina perwatakan warga sekolah, khasnya di kalangan pelajar.

Beliau turut berpandangan asas yang dinyatakan Datuk Zaid Ibrahim dan Datin Noor Azimah Abdul Rahim jelas bertentangan dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Laporan itu juga turut dipetik bahawa Zaid Ibrahim menyatakan bahawa solat adalah suatu ritual yang membebankan.

“Pernyataan solat selaku ritual itu jelas menunjukkan Zaid Ibrahim tidak faham mengenai peranan solat dalam kehidupan seharian manusia.

“Beliau turut mengatakan “Ritual ini tidak dapat membantu pelajar Melayu menjadi lebih berpendidikan, memahami tanggungjawab peribadi atau lebih berdisiplin.” maka dengan itu saya menyangkal sama sekali dakwaan ini.

“Saya tidak pasti ‘nas’ atau hujah apa yang dipegang oleh Datuk Zaid, hari ini permasalahan disiplin di sekolah sepertimana yang pernah dilaporkan media berdasarkan laporan KPM bahawa terdapat 402 buah sekolah di seluruh Malaysia dikategorikan sebagai sekolah ‘Hotspot’, mempunyai masalah yang teruk dari segi disiplin dan 91 (buah sekolah) dari jumlah itu mempunyai masalah dadah dalam kalangan pelajar malah seawal usia 12 tahun,” ujarnya.

Mohd Ashraf Mutaqim yang juga Exco Pendidikan Pemuda PH berkata, semua berlaku kerana kerutuhan ‘sistem’ yang merupakan saling-kait peranan dari institusi keluarga, pendidikan, masyarakat dan kerajaan itu sendiri.

“Dalam kesibukan peranan dari rumah yang tidak mampu dimainkan, maka ianya suatu inisiatif yang baik dilakukan oleh sekolah atau kementerian bagi memastikan nilai yang baik dapat diterapkan melalui pendidikan agama atau moral.

“Semestinya agama mempunyai ruang yang cukup instrumental dalam membentuk sahsiah dan akhlak melalui pendidikan nilai. Pendidikan nilai yang kononnya diperkatakan oleh Zaid Ibrahim perlu diajarkan semuanya terdapat dalam ‘disiplin solat’ atau disiplin beragama. Sepertimana firman Allah SWT, dalam surat al-Ankabut [29]: 45;

“Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu Al Qur’an dan dirikanlah solat. Sesungguhnya s0lat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

“Terlalu banyak nilai yang diajar dalam agama, khususnya agama Islam. Di sekolah, dalam sehari-hari anak-anak merasakan jatuh bangun membina disiplin mengejar intelektualisme dan akademik, santapan rohani melalui solat sebagai contoh mampu membina kemantapan nilai secara holistik malah nilai yang baik dalam beragama mampu memberikan suatu nilai tambah dalam sudut mengawal emosi (kesabaran) dalam usaha memperoleh kejayaan.

“Masalah kegagalan sistem pendidikan kita hari ini bukanlah disebabkan agama Islam, namun disebabkan oleh sistem mahupun pedagogi yang dibawa oleh kerajaan UMNO-BN yang tidak mempunyai halatuju yang jelas untuk memacu ke mana sistem pendidikan kita, selain dari memperjudikan nasib dengan segala macam eksperimentasi yang menyusahkan pelajar dan guru malah merugikan sejumlah besar wang ringgit belanja menukar dasar dan kaedah yang tiada ketetapan,” terangnya.

Justeru beliau berharap, pendidikan agama bukan ditekankan sekadar untuk lulus peperiksaan semata, namun pemilihan guru dan metod pengajaran Pengajian Islam sebagai contoh perlu lebih proaktif, interaktif dan menyeronokkan agar ada penghayatan yang baik dalam kalangan pelajar Islam di Malaysia.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS