Pelakon Rosyam Nor daki tangga Menara KL sokong World#Quranhour

Pelakon Rosyam Nor daki tangga Menara KL sokong World#Quranhour

“Sempena program World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour, tahun ini, selebriti tempatan, Datuk Rosyam Nor akan mendaki kira-kira 2,200 anak tangga Menara Kuala Lumpur (Menara KL) pada 21 Ogos ini sebagai tanda sokongannya terhadap program itu.

Rosyam, 50, berkata beliau bersama 15 lagi peserta termasuk beberapa selebriti lain dan wakil media akan memulakan program itu di Hutan Simpan Bukit Nenas sebelum mendaki anak tangga Menara KL sambil membawa dua bendera iaitu World#QuranHour dan Jalur Gemilang.

Program dinamakan ‘Climbing For World #QuranHour’ ini dijadual bermula kira-kira 10.30 pagi. Sebelum naik ke menara, kita akan berlari kira-kira satu kilometer dari Hutan Simpan Bukit Nenas dengan mengibarkan dua bendera itu.

Bendera ini adalah simbolik bersempena World#QuranHour dan sambutan Hari Kemerdekaan negara pada tahun ini, yang kedua-duanya diadakan serentak pada 31 Ogos, katanya yang juga Duta program itu pada sidang media hari ini.

Rosyam yang memulakan karier lakonan pada 1986 berkata kedua-dua bendera itu akan diserahkan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada hari yang sama (21 Ogos).

Rosyam berharap misi pendakian anak tangga Menara KL dapat dijayakan kerana ia merupakan hasrat dan idea cetusannya sebagai tanda sokongan terhadap program World #QuranHour yang memasuki tahun ketiga dan Merdeka #QuranHour yang julung kali diadakan.

Katanya sebagai selebriti tempatan, beliau bertanggungjawab untuk mengajak rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam untuk membaca dan mendekati al-Quran.

Saya mahu mengajak umat Islam dan bukan Islam untuk turut serta bersama kami menjayakan program ini, apabila kita berkumpul seperti ini secara tidak langsung akan mewujudkan semangat muhibah yang semakin hilang dalam kehidupan masyarakat pada hari ini.

Untuk mereka yang beragama Islam, saya lihat program ini pendekatan terbaik untuk kita kembali membaca, memahami dan menyelami maksud setiap ayat al-Quran walaupun kita tidak pandai mengaji atau tidak pernah mengaji anggap ini satu permulaan buat kita untuk dekat kepada al-Quran, katanya.

World #QuranHour dengan tema World of Compassion (Dunia Kasih Sayang) yang bermula pada 11 pagi akan menjadikan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak sebagai lokasi perdana diikuti pelbagai program lain termasuk bersolat jemaah di Dataran Merdeka pada malam 31 Ogos nanti.

#QuranHour adalah inistiatif yang dicetuskan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) Datuk Hussamuddin Yaacub. Ia adalah kempen secara besar-besaran bagi memperkasakan ummah melalui ilmu dan amal berlandaskan al-Quran.

TAGS