Pelan tingkat usahawan bumiputera eksport produk halal

Pelan tingkat usahawan bumiputera eksport produk halal

Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) sedang menyediakan Blueprint Usahawan Bumiputera dalam Industri Halal untuk mempertingkatkan lagi sumbangan mereka kepada eksport negara.

Pelan tindakan itu dijadual dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Halal Malaysia, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada 1 Jun, 2017.

Selain itu, hasil perbincangan sesi Meja Bulat Industri Halal bersama Syarikat Bumiputera yang dipengerusikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, baru-baru ini, turut akan dibawa ke mesyuarat tersebut, menurut kenyataan HDC hari ini.

“Sesi itu telah menghimpunkan pelbagai peserta industri yang dilihat bertepatan dengan objektif untuk memastikan usaha kerajaan selari dengan keperluan industri halal,” menurut HDC.

Pada sesi itu, sebanyak 17 isu dan cadangan telah diterima dan dikategorikan di bawah lima topik iaitu kesedaran mengenai industri halal, tadbir urus kerajaan, pensijiilan termasuk di peringkat antarabangsa, modal serta promosi dan akses pasaran.

Sesi Meja Bulat Industri Halal bersama Syarikat Bumiputera dihadiri 22 syarikat bumiputera, dewan perniagaan, badan bukan kerajaan serta 13 wakil kementerian yang berkepentingan.

Menurut HDC, industri halal Malaysia semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa di samping tahap kesedaran masyarakat bahawa halal merupakan tawaran nilai yang mampu meningkatkan mutu dan pemasaran serta mampu berkembang ke pasaran antarabangsa.

“Syarikat bumiputera telah menyumbang sebanyak RM2.6 bilion atau 6.6 peratus daripada jumlah eksport halal negara pada 2015.

“Sehingga 2016, sebanyak 2,878 syarikat bumiputera memiliki Pensijilan Halal Malaysia berbanding hanya 579 pada 2010,” menurut HDC.

Antara syarikat yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa adalah Kumpulan Ramly Bhd, Dewina Food Industries Sdn Bhd dan Natural Wellness Industries Sdn Bhd.

CATEGORIES