Pas alu-alukan pelantikan Gabenor BNM, selamat bersara Zeti

Pas alu-alukan pelantikan Gabenor BNM, selamat bersara Zeti

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pas mengalu-alukan pelantikan Datuk Muhammad Ibrahim selaku Gabenor Bank Negara yang baharu selaras dengan ingatan parti itu sebelum ini mahukan perlantikan  ke jawatan itu bukan dari kalangan ahli politik dan perlu mengambil kira pandangan Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang bakal bersara hujung bulan ini.

Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelantikan Muhammad diharap mampu meneruskan dan menambah keyakinan rakyat terhadap usaha untuk memuliakan kedudukan kewangan negara.

“Rakyat juga berharap beliau akan bersikap tegas dalam menyelesaikan kemelut 1MDB yang masih belum selesai.

“Tugas besar yang menanti beliau ialah memperteguhkan peranan Bank Negara dalam mengawasi perjalanan perbelanjaan kerajaan dan syarikat tanggungan kerajaan selain merangka strategi berkesan dalam memastikan ekonomi negara terus stabil dan kukuh dalam keadaan tidak menentu ini selain menjadi penasihat berkesan kepada kerajaan.

“Namun beliau juga akan menjadi fokus rakyat bagi melihat perjalanan 1MDB yang masih bergelut dengan pelbagai su yang sentiasa muncul lebih-lebih lagi apabila kini 1MDB dalam keadaan ingkar,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Tuan Ibrahim diminta mengulas mengenai pelantikan Muhammad  sebagai Gabenor BNM untuk tempoh lima tahun mulai 1 Mei 2016  seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd  Najib Razak semalam.

Pelantikan beliau telah mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong di atas nasihat Perdana Menteri.

Tuan Ibrahim berkata, sebagai Timbalan Gabenor yang paling senior di bawah Zeti sejak 10 tahun lalu, Pas percaya Muhammad mampu menjalankan tanggungjawab dengan berkesan dan membetulkan perjalanan kewangan negara agar menepati kehendak syarak.

“Kepada Tan Sri Zeti, Pas mewakili rakyat mengucapkan tahniah dan takziah atas hasil kerja dan prestasi BNM yang cukup memberangsangkan.

“Pas juga tahu tidak mudah bagi perlantikan pengantinya sebagai Gabenor BNM berlaku jika Tan Sri tidak mendesak dan mengasak kerajaan dengan pelbagai peringatan melalui media bahawa perlantikan Gabenor BNM mestilah bukan dari kalangan ahli politik.

“Selamat bersara bagi Tan Sri  dan selamat bertugas bagi Datuk Muhammad. Semoga kalian sentiasa dalam bimbingan Ilahi.” ujar Tuan Ibrahim.

TAGS