PELEKAT sasar eksport madu kelulut ke luar negara tahun depan

PELEKAT sasar eksport madu kelulut ke luar negara tahun depan

Persatuan Pengusaha Lebah Kelulut Terengganu (Pelekat) menyasarkan untuk memasarkan produk madu kelulut ke negara Timur Tengah, China, Singapura dan Brunei mulai tahun depan berikutan permintaan tinggi daripada negara berkenaan.

Penaung Pelekat Mohd Zulkifli Abu Bakar berkata ketika ini pihaknya belum dapat menembusi pasaran Timur Tengah khususnya ibu negara Emiriah Arab Bersatu iaitu Dubai memandangkan pengeluaran madu kelulut oleh pengusaha di negeri ini masih terhad.

Beliau berkata, setakat ini pengusaha di Terengganu hanya mampu mengeluarkan kira-kira 500 kilogram (kg) madu kelulut sebulan dengan jualan mencecah RM200,000 atau 6,000 kg setahun dengan nilai jualan RM2.4 juta.

“Sekarang kita mempunyai persatuan dengan dengan ahli seramai 120 orang. Pelekat mahu menambah ahli sehingga 1,500 ahli bagi meningkatkan pengeluaran madu kelulut untuk membolehkan ia dieksport,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat pertama persatuan itu yang turut dihadiri Pengerusi Pelekat Dr Nor Riah Mahmood, di sini, semalam.

Mohd Zulkifli yang juga Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berkata, Pelekat ditubuhkan dua bulan lalu bagi menghimpun pengusaha madu kelulut seluruh negeri agar mereka dapat bergerak dengan lebih baik dan mampu menghasilkan madu dengan lebih banyak agar mencapai sasaran tahun depan.

Beliau berkata, dengan penubuhan Pelekat juga, mereka dapat menyelaras harga madu kelulut selain menghasilkan pelbagai produk hiliran berasaskan madu kelulut dan membanteras penjualan madu kelulut tiruan dengan moto “Fight4Ori”.

“Apabila kita ada persatuan, pengeluaran madu kelulut akan lebih terjamin keasliannya kerana itu keutamaan kita.

“Jika ada cubaan mencampur madu kelulut dengan bahan lain atau ia bukan madu asli, maka mudahlah kita mengesan jika yang berbuat demikian di kalangan ahli kita sendiri,” katanya.

CATEGORIES
TAGS