Pemaju digesa hentikan aktiviti di Bukit Sekilau segera

Pemaju digesa hentikan aktiviti di Bukit Sekilau segera

Projek Pembangunan Perumahan di Bukit Sekilau harus diberhentikan serta merta kerana kegagalan menyediakan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA).

Pakatan Harapan Indera Mahkota dalam satu kenyataan berkata, aktiviti penggondolan Bukit Sekilau yang dijadikan sebagai tapak pembangunan telah menimbul kemarahan penduduk-penduduk Kuantan dan khuatir penggondolan tersebut akan menjejaskan kehidupan penduduk-penduduk setempat.

“Pertemuan di antara pihak kami dengan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pahang telah mengesahkan bahawa pemaju tersebut gagal menyediakan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) untuk kawasan cerun bukit yang sedang diusahakan.
“Pihak JAS menekankan bahawa hanya pelan untuk plot tanah rata depan yang dihantar untuk komen,” ujar kenyataan itu.

Pakatan Harapan juga menggesa pihak pemaju untuk memberhentikan segala aktiviti-aktiviti di kawasan tersebut serta merta agar perkara yang tidak diingini berlaku sementara menunggu semua ketua agensi-agensi yang terlibat membuat lawatan tapak dalam masa terdekat serta membuat keputusan yang adil, tepat dan tidak memihak untuk kesejahteraan dan keselamatan penduduk-penduduk setempat.

“Kami ingin mendesak MCA dan Pegawai Khas Liow Tiong Lai Datuk Seri Andrew Wong Kean Hwee untuk meminta maaf kepada warga Kuantan atas kenyataannya yang menyatakan bahawa EIA tidak diperlukan untuk projek tersebut telah mengelirukan penduduk-penduduk Kuantan.

“Selain itu, janji beliau bahawa Syarikat tersebut akan tampil memberikan penjelasan pada minggu lepas juga tidak ditetapi.

“Beliau wajib memohon maaf kepada semua warga Kuantan kerana mengabaikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk-penduduk Kuantan khususnya Penduduk Bukit Sekilau.

“Pakatan Harapan Indera Mahkota menekankan bahawa keseimbangan dalam memelihara alam sekitar dan menjalankan pembangunan akan diberikan keutamaan selepas Pakatan Harap mengambil alih tampuk kepimpinan negara,” ujar kenyataan itu.

TAGS