Pemandu bas terbabit kemalangan di Pagoh tiada rekod kesalahan – JPJ

Pemandu bas terbabit kemalangan di Pagoh tiada rekod kesalahan – JPJ

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pemandu bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di KM 137.3, Lebuhraya Utara Selatan arah utara semalam, tidak memiliki sebarang kesalahan dalam rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Nadzri Siron berkata berdasarkan semakan JPJ, pemandu bas berkenaan, Zakeer Zubir, 32, yang turut maut dalam kejadian itu, didapati tidak mempunyai saman tertunggak, selain rekod bersih.

“Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan pemeriksaan Puspakom pemandu bas berkenaan juga masih sah dan aktif,” katanya kepada pemberita selepas Op Jalan Fasa Satu JPJ, di Jalan Bangsar, di sini malam tadi.

Dalam kejadian awal pagi semalam itu, bas berkenaan terjunam ke dalam cerun dan merempuh benteng konkrit di Kampung Jayor di KM 137.3 berdekatan kawasan Rehat dan Rawat Pagoh, menyebabkan 14 orang maut dan 16 cedera.

Bagaimanapun, Nadzri berkata hasil semakan rekod JPJ, syarikat pengendali bas berkenaan iaitu Goldstar Express (M) Sdn Bhd didapati memiliki lapan saman tertunggak antara 2014 dan Nov 2015.

“Lapan saman tertunggak syarikat bas itu adalah hanya daripada JPJ sahaja…kami masih menunggu rekod saman daripada PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) sekiranya ada,” katanya.

Beliau berkata JPJ akan bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan PDRM untuk menyiasat punca kemalangan tragis itu.

“Ya, JPJ bersama PDRM dan Miros akan melakukan siasatan terperinci mengenai kemalangan bas terbabit manakala perkembangan laporan siasatan insiden berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, dalam Op Fasa Satu, Nadzri berkata JPJ telah memeriksa 816 motosikal dan daripada jumlah tersebut sebanyak 243 notis dikeluarkan untuk pemeriksaan spesifikasi yang tidak mematuhi peraturan JPJ.

Operasi yang bermula 8 malam dan berakhir 11.20 malam tadi itu melibatkan 63 anggota terdiri daripada JPJ, PDRM, Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar dan Agensi Antidadah Kebangsaan.

TAGS