Pembalakan di hutan simpan kekal (HSK) Balah dihentikan sementara

Pembalakan di hutan simpan kekal (HSK) Balah dihentikan sementara

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan Kelantan mengarahkan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah, Gua Musang dihentikan sementara berkuat kuasa hari ini berikutan bantahan daripada penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim berkata sehubungan itu, semua operasi berkaitan pembalakan ditangguhkan sehingga semua isu yang timbul, dapat diselesaikan.

“Jabatan Perhutanan Kelantan sudah mengarahkan semua syarikat pembalakan di kawasan itu menghentikan kerja mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada Rabu lepas, sekumpulan lebih 200 Orang Asli dilaporkan membuat bantahan supaya aktiviti pembalakan itu dihentikan termasuk dengan membuat sekatan bagi menghalang pengeluaran balak dari kawasan berkenaan dan tindakan pembalak merobohkan sekatan itu telah mencetuskan kekecohan.

Penduduk Orang Asli berkenaan mendakwa kawasan antara Pos Tohoi dan Pos Simpor, Gua Musang itu adalah tanah nenek moyang mereka yang diceroboh pembalak manakala pembalak pula mendakwa mereka mempunyai lesen sah untuk melakukan kerja pembalakan.

Dalam satu kenyataan semalam, Adun Amanah Salor, Datuk Husam Musa berkata bagi kebaikan semua pihak, beliau mencadangkan Kerajaan Negeri serta merta membekukan kegiatan pembalakan di kawasan berkenaan buat sementara waktu.

Dengan berbuat demikian katanya, bolehlah pihak Kerajaan Negeri melantik konsultan bebas menjalankan kajian Impak Sosial dan Ekologi kepada komuniti berkenaan untuk menilai samada kegiatan berkenaan boleh diizinkan semula atau memerlukan pengubahsuaian atau pembatalan.

“Pemimpin Kerajaan Negeri sendiri dalam situasi seperti ini perlu melawat kawasan terbabit, berdialog dengan komuniti terlibat dan jika perlu, membayar ganti rugi yang sesuai.

“Ini boleh membantu membuang kekeruhan dan pandangan negatif masyarakat Orang Asli kepada pihak-pihak tertentu secara keseluruhan,” katanya.

Bagi Husam, Kerajaan Negeri dan agensi terbabit seharusnya sedar tanggung jawab sosial sewajarnya mengatasi pertimbangan komersil semata-mata.

TAGS