Pembangkang patut tiada masalah undi tolak bajet BN

Pembangkang patut tiada masalah undi tolak bajet BN

Mohamed Hanipa Maidin

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin menegaskan Ahli Parlimen pembangkang sebenarnya tiada masalah untuk mengundi menolak Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri.

Beliau berkata, undian tersebut sebaliknya satu mesej yang wajar ditonjolkan kepada Presiden Umno yang juga dikenali sebagai Malaysian Official 1 (MO1) itu bahawa rakyat tidak harus cuba diperbodohkan.

“Undang-undang dan Perlembagaan benarkan mana-mana MP (Ahli Parlimen), hatta di pihak BN sekalipun, untuk menolak bajet setelah dengar perbahasan kedua-dua blok – kerajaan dan pembangkang.

“Jadi ,dengan cadangan undi belah bahagi (block voting) sebenarnya, setiap MP di dalam dewan, yang penuh sedar bagaimana MO1 salah urus kewangan negara, mereka sewajarnya berani untuk memberi satu petunjuk yang jelas kepada MO1 – jangan cuba perbodohkan kami atau rakyat. Bajet anda wajib ditolak!”

“Ya, mungkin sukar bagi MP BN untuk mengundi menolak bajet kerana sistem whip. Namun, tak sepatutnya ada masalah bagi MP pembangkang mengundi dalam satu suara – tolak bajet!” tegas Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (Kanun) itu.

Mengulas reaksi seorang Ahli Parlimen Pas yang mempertahankan tindakan 11 orang daripada mereka yang berkecuali dengan tidak mengundi menolak Bajet 2018, Hanipa menyifatkan wujud salah faham berkaitan pengundian belanjawan sebanyak RM280.25 bilion itu.

“Alasan beliau (Idris Ahmad) adalah peraturan di Parlimen membenarkan mereka berkecuali tak mengundi. Maknanya, tak sokong dan juga tak bantah melalui undi.

“Beliau juga berkata jika mereka mengundi menolak Bajet 2018 tersebut, maka macam mana dengan bajet pembangunan seperti sekolah dan sebagainya.

“Dia juga kata MP parti suci dalam perbahasan juga menentang atau mengkritik 1MDB, isu GST, isu ketirisan, isu Felda dan sebagainya

“Maaf, hujah beliau nampak menarik, namun bagi saya, ia menunjukkan satu kekeliruan,” tegas peguam itu.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional berkenaan berpendapat Pas yang digelarnya “parti suci” itu dilihat masih boleh menerima Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 tersebut.

“Ia juga secara tidak langsung menunjukkan bahawa parti suci tidak mahu tunjukkan satu protes dalam terma yang paling kuat ke atas bajet MO1 itu.

“Dan kesannya ada Timbalan Menteri yang sokong pendirian parti suci tersebut. Politik matang dan sejahtera dipuji,” sinisnya.

Bagaimanapun, Hanipa berkata, Pakatan Harapan sedar jika semua Ahli Parlimen pembangkang hadir termasuk Pas mengundi menolak Bajet 2018 sekalipun, tindakan itu masih gagal untuk menolak belanjawan tersebut ekoran BN mempunyai suara majoriti.

“Namun, selepas berhujah dan berdebat serta tegas menpertikaikan cara kerajaan BN uruskan kewangan negara dalam perbahasan bajet, maka satu-satunya opsyen yang konsisten adalah menolak bajet tersebut.

“Sudah tentu jika bajet ditolak, kerajaan BN akan tumbang dan perlu ada pilihan raya,” katanya.

Lanjut mengulas dakwaan Idris yang kononnya aneh jika Ahli Parlimen Pas memohon projek awam dilaksanakan selepas menolak Bajet 2018, beliau berkata, hakikatnya lebih banyak lagi boleh dipohon jika wang negara dibelanja dan diurus secara baik.

“Sekarang ini, akibat wang negara tak diurus dengan baik dan telus, maka banyak peruntukkan untuk rakyat seperti perumahan, sekolah, universiti awam, subsidi untuk rakyat miskin terjejas teruk.

“Lebih teruk lagi, cukai diambil daripada semua rakyat atas nama GST,” tambahnya lagi.

7.5
OVERALL SCORE
: 10.0
3 user votes x 6.7
CATEGORIES
TAGS