Pembaptisan dosa diktator

Pembaptisan dosa diktator

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Sejarah diktator dunia menunjukkan mereka mahu dilihat baik dan bermoral oleh rakyat.

Walaupun rakyat tahu mereka adalah perompak harta rakyat dan penindas suara pengkritik, rakyat dikaburi mata mereka umpama ahli sihir menipu mata penonton.

Dosa para diktator cuba ‘dicuci’ dengan slogan agama kononnya mereka adalah pembela agama, guna untuk ‘mensihirkan’ rakyat betapa hebatnya keinsafan mereka menobatkan agama.

Sihir ini telah dilakukan oleh Jaafar Numeiri, bekas diktator Sudan yang melaksanakan undang-undang hudud walaupun negaranya tenggelam dalam kemiskinan dan peperangan.

Perlaksanaan hudud diharapkan dapat menutup segala kediktatorannya namun sunnah alam menetapkan bahawa nama baik Islam tak mungkin berjalan seiring dengan kezaliman dan penindasan sang kuku besi.

Akhirnya diktator Jaafar Numeiri tumbang tak terdaya mensucikan dosanya dengan ‘skrip agama’ yang gagal dihayati.

Di Malaysia hari ini adanya Indeks Syariah pada saat Perdana Menterinya terpalit dengan skandal RM 2.6 bilion dan RM 52 bilion 1MDB serta tadbir urus negara yang culas dan bobrok.

Saat negara menjadi tumpuan dunia kerana melibatkan rangkaian dakwaan penggubahan wang haram dan akaun peribadi Perdana Menteri yang memiliki RM 4 bilion, saat itu skor Indeks Syariah adalah 75 peratus!

Adakah si diktator mahu ‘mensucikan dosanya’ dengan pembaptisan Indeks Syariah?

Amat memalukan dunia, saat Laporan Audit Negara melaporkan ketirisan berbilion ringgit kerana tatakelola kewangan yang culas dan curang dan saat indeks kebebasan media, rasuah dan demokrasi yang meletakkan penarafan negara antara tercorot, para pembabtis sang diktator memberikan skor Indeks Syariah sebanyak 75 peratus!

Begitulah nama Islam ditunggangi untuk menunjukkan betapa patuhnya sang diktator kepada Syariah sebagai jampi sihir untuk kesekian kalinya para pakar pemutar dan pembelit memuji-muja pemimpin agung negara.

Betapa patuh syariahnya sang diktator walaupun Peguam Negara ditamatkan perkhidmatannya secara mengejut, Jawatankuasa Siasatan 1MDB dan RM 2.6 bilion dibubarkan, pegawai penyiasat dipindahkan serta laporan Jawatankuasa Pemeriksa Kira-Kira Awam (PAC) tidak berani didedahkan dan ‘grand finale’-nya ialah apabila pembabtis agung si Peguam Negara baru ‘mensucikan’ sang diktator bahawa dia tidak bersalah malah menyekat dakwaan SPRM untuk diteruskan.

Para pengkritik tegar didiamkan dengan ‘tongkat sakti’ Akta Hasutan, OSA, media perdana dan lain-lain yang sedia berkhidmat dengan setia pada sang diktator setelah kenyang disumbat dedak.

Mangsa terkini Saudara Rafizi, Shazni dan Shukri, entah berapa ramai lagi yang dalam senarai menanti dan mungkin juga Tun Dr Mahathir.

Penamat kisah sang diktator sama sahaja di mana-mana di setiap zaman bahawa rakyat akan bangkit dan kisah pembabtisan dosa sang diktator tidak menjadi, namakanlah ia Hudud atau Indeks Syariah ataupun Maqasid sekalipun, Najib Razak tetap mesti undur dan negara wajib melakukan reformasi institusi.

Rakyat Perlu Bangkit!

* Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa ialah Ahli Parlimen Parit Buntar

TAGS