Pemberian BR1M tidak harus dieksploitasi pemimpin

Pemberian BR1M tidak harus dieksploitasi pemimpin

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak harus dieksploitasi oleh ahli politik yang tidak berpuas hati kerana akan memberi kesan kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani berkata perbuatan itu bukan sahaja menghina penerima BR1M, malah menggambarkan sifat negatif diamalkan pihak pembangkang terhadap usaha murni kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kerajaan BN tidak pilih kasih atau mengetepikan pihak tertentu apabila menjaga kebajikan rakyat.

“Semasa sidang Dewan Rakyat, ketika sesi soal jawab menteri, ahli Parlimen Lembah Pantai telah mengajukan soalan dan saya telah menjelaskan bahawa daripada 7,280,340 penerima BR1M yang layak, Selangor adalah penerima BR1M tertinggi dengan jumlah 1,017,403,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Johari berkata ia sekali gus membuktikan kerajaan BN tidak melakukan diskriminasi terhadap golongan berpendapatan rendah, tidak kira di mana mereka tinggal atau siapa yang mereka undi.

Pada Ahad  bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor mendakwa BR1M adalah satu bentuk rasuah, dan dengan itu, pemberiannya adalah salah di sisi undang-undang atau satu jenayah.

Johari menjelaskan pemberian bantuan kewangan oleh kerajaan kepada golongan berpendapatan rendah bukanlah satu konsep asing dan telah diamalkan di banyak negara seluruh dunia.

“Malah, bantuan kewangan yang mensasar telah diiktiraf oleh Bank Dunia dan IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) sebagai salah satu kaedah utama jaringan keselamatan sosial untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata bantuan itu menjadi sebahagian daripada sistem perlindungan sosial yang mantap bagi kebanyakan negara maju.

Pemberian makanan di Amerika Syarikat dan Dana Sosial di United Kingdom adalah beberapa contoh kejayaan program pemberian wang tunai kerajaan bagi menbantu golongan yang tidak berkemampuan, kata Johari.

“Kerajaan Thailand juga telah melaksanakan pemberian wang tunai sebagai cara untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan merangsang ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Johari berkata Dr Mahathir sedia maklum bahawa bantuan kewangan untuk rakyat dalam bentuk BR1M pada asalnya dicadangkan dan dimasukkan dalam Bajet 2012 berdasarkan kesedaran kerajaan terhadap kesan kenaikan kos sara hidup rakyat terutama golongan miskin bandar.

Katanya idea asal itu dicetuskan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz semasa taklimat Bajet 2012 sebagai idea berkesan untuk membantu rakyat berpendapatan rendah dalam mengatasi kesan kenaikan kos sara hidup.

Menerusi BR1M, Johari berkata golongan berpendapatan rendah mendapat kebaikan melalui peningkatan pendapatan boleh guna dan kuasa beli yang lebih tinggi terhadap barangan keperluan.

“Melalui program BR1M secara tidak langsung menggalakkan pertumbuhan penggunaan barangan industri, yang kebanyakannya adalah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan peningkatan penggunaan terhadap ekonomi domestik,” kata beliau.

Menurut Johari, BR1M juga perlu diteruskan untuk menampung kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi terhadap golongan berpendapatan rendah.

TAGS