Pemimpin politik Sabah diminta jangan hipokrit, perguna Sabah untuk Sabahan

Pemimpin politik Sabah diminta jangan hipokrit, perguna Sabah untuk Sabahan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tokoh politik veteran Sabah, Hamzah Abdullah mengkritik kenyataan dan tindakan pemimpin politik Sabah yang bermain dengan sentimen rakyat “Sabah untuk Sabahan” untuk mendapatkan kuasa.

Padahal selepas berkuasa Sabahan sendiri yang mengkhianati mandat dan amanah rakyat Sabah, kata Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah itu.

“Usah hipokrit. Yang lingkupkan Sabah dan miskinkan rakyatnya ialah parti lokal yang diterajui oleg Sabahan sendiri,” kata Hamzah melalui facebooknya hari ini.

Hamzah dipercayai mengkritik sesetengah pemimpin di Sabah yang keluar dari parti asalnya untuk menubuhkan parti baru untuk Sabah sahaja.

Ia kononnya untuk mengelakkan sentimen mereka mewakili parti dari semenanjung. 

Ia bermula dengan Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking yang keluar dari PKR dengan melepaskan jawatan naib presiden parti itu untuk menyertai parti yang sedang dibentuk bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Shafei Apdal.

Ia disusuli dengan ADUN Likas daripada DAP, Junz Wong; Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Joan Goh; Naib Pengerusi DAP Sabah, George Hiew dan tujuh lagi Exco DAP Sabah turut meninggalkan parti itu.

Serentak dengan itu juga, Pengerusi Perhubungan PKR Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin yang disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog daripada PKR, Terrance Siambun; Setiausaha PKR Sabah, Datuk Majjol Mahap dan Ketua Wanita PKR Sabah, Johair Matlani meninggalkan PKR.

Hamzah Abdullah, bekas pemimpin Pas Sabah kini memimpin Amanah.Menurut Hamzah, fakta yang terbentang depan mata dan yang menjadi bahan sejarah untuk ditelaah generasi mendatang Sabahan ialah pemimpin lokal Sabahan sendiri yang mengkhianati mandat dan amanah rakyat Sabah.

Menurut beliau pada tahun 1985, parti lokal Sabahan menang atas isu ‘Sabah For Sabahans’.

“Tetapi faktanya hanya menyaksikan yang kaya raya ialah pemimpin-pemimpin lokal yang rupa-rupanya hipokrit!!” kata Hamzah.

Pada tahun 1990, katanya, parti lokal ini khianat ke atas Barisan Nasional (BN) lalu keluar BN!

“Pemimpin-pemimpin hipokrit itu kini bersama BN sekali lagi menikmati projek-projek bernilai ratusan juta,” katanya.
Pada tahun 1994, parti lokal ini dikhianati oleh pemimpin-pemimpinnya sendiri..”kini mau tubuh parti lokal sendiri kerana konon tak yakin dengan parti Malaya..walaupun masih menikmati elaun atas tiket parti Malaya.”

Malaya adalah istilah yang digunakan untuk Semenanjung Malaysia.

“Isunya bukan parti lokal atau parti Malaya!! Isunya ialah prinsip serta akhlak pemimpin-pemimpin itu sendiri yang sering memanipulasi sentimen rakyat bagi mencapai agenda peribadi,” kata Hamzah dalam kenyataan itu.

 

TAGS