Pempamer Malaysia sertai pesta makanan Cologne, Jerman

Pempamer Malaysia sertai pesta makanan Cologne, Jerman

Kontinjen terbesar pempamer produk makanan dan minuman Malaysia dijangka menyertai pameran perdagangan Allgemeine Nahrungs-und Genussmittel-Ausstellung (ANUGA) 2017 di Cologne, mulai 7 Okt.

Menerusi 56 peserta Malaysia, dengan 40 peserta mengambil bahagian di bawah payung Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), akan bersaing dengan pempamer lain dari seluruh dunia bagi berkongsi pasaran makanan dan minuman global.

Pejabat MATRADE di Frankfurt sudah membuat persiapan untuk penyertaan pempamer, dengan membantu mereka dalam urusan pemprosesan penyertaan dengan Messe Köln, agensi promosi pameran perdagangan yang berpejabat di Cologne, serrta pelbagai urusan lain.

Pameran ANUGA yang berlangsung secara dwi-tahunan, dianggap sebagai pameran makanan terbesar di dunia.

“Industri makanan dan minuman Malaysia pesat berkembang dan kini telah memasuki pasaran eksport global. Eksport makanan dan minuman utama Malaysia ialah dalam sektor minyak dan lemak, terutama produk berasaskan minyak sawit, dengan negara mencapai keunggulan menjadi antara dua pengeksport terbesar dunia,” kata Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Frankfurt Badrul Hisham Hilal kepada Bernama.

Syarikat-syarikat Malaysia memperoleh pengalaman luas dalam menyokong syarikat multinasional utama yang terlibat dalam pengeluaran produk makanan di Malaysia, termasuk beberapa nama besar seperti Nestle, Ajinomoto, Campbell, Cargill, Mafipro, Dutch Lady, Kerry Ingredients, Yakuli dan Coca-Cola.

Para peserta pameran Malaysia di ANUGA 2017 akan mengetengahkan makanan sejuk beku, kuih-muih, sos dan pasta, minuman dan ramuan makanan.

Industri pemprosesan makanan merupakan antara industri tertua di Malaysia, yang menyumbang kira-kira 10 peratus daripada pengeluaran perindustrian negara.

“Malaysia kini mengeksport makanan dan minuman ke lebih 200 negara. Eksport sektor makanan dan minuman melebihi US$4.8 bilion pada 2016. Saiz pasaran Malaysia juga sangat menarik dengan nilai pasaran sebanyak US$32.6 bilion,” kata Badrul.

Satu pavilion besar akan dibuka, masing-masing di Dewan 4.2 dan Dewan 1.1 pusat pameran besar di Cologne.

Eksport makanan Malaysia berusaha mengenal pasti pasaran baharu susulan peningkatan jumlah penduduk dunia yang gemarkan hidangan pedas Asia – yang digambarkan sebagai makanan eksotik – hasil daripada interaksi yang semakin meningkat antara benua dan kemudahan perjalanan dari satu wilayah ke kawasan yang lain.

Kehadiran masyarakat Asia yang semakin ramai di pasaran utama dunia juga menyumbang kepada trend ini.

Jumlah dagangan Malaysia bagi Jun 2017 melonjak 7 peratus kepada RM 136.26 bilion, meningkat berbanding RM127.38 bilion pada Jun 2016.

Dagangan dengan China, India, Jepun, Kesatuan Eropah, ASEAN, Amerika Syarikat, Taiwan dan Republik Korea berkembang pada kadar yang mengagumkan.

Eksport global Malaysia sepanjang enam bulan pertama 2017 berjumlah RM451 bilion (+ 21.5 peratus) manakala import ke Malaysia dalam tempoh yang sama berjumlah RM408 bilion (+ 23.3 peratus).

Eksport Malaysia ke Jerman pada 2016 berjumlah RM22.295 bilion manakala import dari Jerman berjumlah RM24 bilion pada tahun yang sama.

Dalam tempoh Januari-Jun 2017, eksport Malaysia ke Jerman berjumlah RM13.147 bilion manakala import dari Jerman berjumlah RM12.273 bilion.

Pakar Malaysia mengunjurkan produk makanan yang diproses mampu menjadi pencetus perubahan dalam perdagangan luar Malaysia dan mewujudkan pangkalan yang kukuh untuk Malaysia sebagai pembekal produk makanan berkualiti di pasaran global.

CATEGORIES