Pemuda AMANAH gelar baju merah #UmnoSamseng

Pemuda AMANAH gelar baju merah #UmnoSamseng

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Masyarakat perlu mengenali kumpulan baju merah dengan nama #UmnoSamseng, kata Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Perak, Mohd Fitri Asmuni.

Menurutnya, ini kerana kumpulan yang menjadi dalang kekecohan semasa Konvoi Bersih 5 itu dipelopori oleh pemimpin dan ahli Umno.

Kata beliau, biarpun ada pemimpin Umno yang menafikan bahawa mereka disebalik kumpulan tersebut, tetapi secara jelas keterlibat ahli dan pimpinan parti itu.

“Hari ini Pemuda Amanah Perak memperkenalkan hastag baru, kami mengajak masyarakat mengenali kumpulan baju merah ini dengan nama #UmnoSamseng.

“Peserta kumpulan itu secara jelas mewajahkan mereka adalah daripada Umno, antaranya memakai baju berlogo Umno dan berkumpul di pejabat Umno.

“Penafian pimpinan kononnya Umno tidak terlibat kami sifatkan hanyalah sandiwara sedangkan mereka membiarkan sahaja penglibatan ahli dan pimpinan mereka dalam kumpulan tersebut,” katanya dalam sidang media di Wisma Amanah Perak, dekat Ipoh hari ini.

Hadir sama ialah Naib Ketua Pemuda, Khairol Najib Hashim; Setiausaha, Safarizal Saleh; Pengarah Biro Pilihan Raya, Ahmad Saqif Ansorullah; Ketua Pemuda AMANAH Teluk Intan, Muhammad Esma Hafiz dan Timbalan Keta Pemuda AMANAH Teluk Intan, Ahmad Munzirie Ahmad Kabir.

Mohd Fitri menjelaskan, pihak berkuasa juga wajar bertindak terhadap aksi liar kumpulan itu yang bertindak biadap serta keterlaluan terhadap konvoi bersih baru-baru ini sehingga ada yang tercedera.

Ujar beliau, Jamal yang menjadi dalang kumpulan ini tidak sewajarnya dibiarkan bebas bertindak sesuka hati tanpa sebarang tindakan dikenakan sedangkan jelas pemimpin Umno itu melanggar undang-undang negara.

“Pemuda Amanah Perak mendesak agar satu siasatan dijalankan oleh PDRM bukan sahaja terhadap mereka yang melakukan tindakan provokasi dan menendang motosikal konvoi Bersih 5, tetapi juga terhadap ahli kumpulan baju merah yang lain supaya perkara tersebut tidak akan berlaku dan berulang lagi pada masa akan datang.

“Kita juga percaya PDRM telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang konvoi Bersih 5 tersebut dan berharap PDRM akan terus bersikap profesional dalam mempertahankan undang-undang dan memberikan ruang demokrasi kepada semua pihak,” tambahnya.

 

TAGS