Bantu pendidikan anak tentera, tingkat pencen pesara, bukan besarkan tugu

Bantu pendidikan anak tentera, tingkat pencen pesara, bukan besarkan tugu

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pemuda Amanah Nasional menggesa kerajaan membatalkan projek Taman Tugu sebaliknya menyalurkan dana bagi membantu pendidikan anak tentera serta meningkatkan pencen golongan tersebut.

Timbalannya, Faiz Fadzil berkata, projek mencecah RM650 juta itu perlu diganti dengan memberikan bantuan pendidikan dan biasiswa kepada anak-anak tentera di semua peringkat pengajian.

“Langkah ini jika dilaksanakan pasti memberi banyak manfaat kepada tentera terutama yang telah bersara serta dapat menambah jumlah anak-anak tentera yang berpendidikan tinggi.

“Apa yang lebih penting sebagai menghargai pengorbanan pahlawan-pahlawan negara adalah membantu golongan tentera menikmati kehidupan yang lebih baik terutama pendidikan anak-anak mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut berkata, kos sebanyak itu seperti diumumkan Perdana Menteri, 5 September lalu juga boleh dimanfaatkan dengan meningkatkan pencen kepada lebih 100,000 pesara tentera bagi meringankan bebanan kehidupan yang semakin menghimpit pada masa ini.

“Nasib golongan tentera perlu terus dibela apatah lagi kebanyakannya terdiri daripada mereka yang berbangsa Melayu.

“Tidak guna jika pemimpin Umno-BN terutama Khairy Jamaludin asyik melaungkan slogan membela Melayu, tetapi hakikatnya, kehidupan Melayu semakin terpinggir,” tegasnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pembaziran kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak jelas gagal untuk mengurus kewangan negara dengan semakin menggila melalui projek menelan jumlah RM650 juta itu.

“Kos projek mega ini boleh bertambah jutaan ringgit lagi melalui arahan kerja-kerja variasi.

“Anggaran peruntukan projek ini yang melampau tingginya pasti memberi keuntungan kepada kontraktor yang dilantik berbanding rakyat bawahan,” bidasnya.

Faiz berkata, kerajaan sehingga hari ini masih membisu untuk menjelaskan keuntungan projek tersebut kepada rakyat dalam keadaan kehidupan yang semakin tertekan dengan kenaikan kos sara hidup akibat GST dan korupsi.

“Projek mega ini sedikit pun tidak mampu meringankan beban yang ditanggung rakyat.

“Taman Tugu yang turut menempatkan Tugu Negara sudah mencukupi sebagai lambang peringatan pengorbanan pahlawan-pahlawan negara.

“Wang rakyat seharusnya dibelanjakan secara berhemah dan adil,” tambahnya lagi.

TAGS