Pemuda AMANAH gesa SPRM siasat dakwaan Pas terima ‘duit Umno’

Pemuda AMANAH gesa SPRM siasat dakwaan Pas terima ‘duit Umno’

Pemuda AMANAH Nasional menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan pemimpin kanan Pemuda Pas Malaysia yang menggambarkan parti itu mengambil wang daripada Umno.

Ketuanya, Mohd Sany Hamzan berkata, SPRM perlu mengambil perhatian serius terhadap dakwaan ini kerana penyaluran dana kepada parti politik atas tujuan tertentu adalah tidak beretika dan bercanggah dengan undang-undang.

“SPRM perlu bertindak agar amalan penyaluran wang secara tidak beretika ini dapat dibendung sebelum ia membarah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gesaan itu dibuat ekoran pendedahan seorang ahli Pas menerusi laman Facebooknya tentang dakwaan Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas Malaysia, Nurul Islam Mohamed Yusof bahawa Presiden Pas memberi kebenaran mengambil wang daripada Umno.

Nurul Islam dikatakan mendakwa, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Pas mengizinkan untuk mengambil wang daripada Umno.

Mengikut laporan tersebut, Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian dalam satu pertemuan dengan pimpinan Pemuda Pas baru-baru ini.

Bagaimanapun, dakwaan Nurul Islam itu disanggah oleh Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Pas Pusat, Zaharudin Muhammad yang berkata Presiden Pas bukanlah seperti yang digambarkan oleh Nurul Islam.

Zaharudin yang merupakan menantu kepada Abdul Hadi menegaskan, dakwaan Nurul Islam berupa fitnah yang berat terhadap Abdul Hadi.

Selari pendekatan Pas

Mengulas lanjut, Sany berkata, dakwaan Nurul Islam itu dilihat selari dengan pendekatan Pas ketika ini yang sangat lunak dan mesra dengan Umno.

Kenyataan Nurul Islam yang merupakan bekas pegawai media Pejabat Presiden Pas itu, katanya, sudah pasti mempunyai asasnya tersendiri hingga menuntut Abdul Hadi membuat pendirian sama ada boleh atau tidak menerima wang daripada Umno.

“Bak kata pepatah, “kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang”.

“Pas lebih ‘bernafsu’ menyerang Pakatan Harapan serta tidak mahu bersama dalam gabungan besar pakatan pembangkang.

“Pas juga tidak lagi lantang menentang serta menyuarakan bantahan terhadap kepincangan dan salah guna kuasa yang dilakukan oleh Umno BN sebaliknya lebih asyik memainkan isu yang memecahbelahkan kesatuan pembangkang,” katanya.

Menurut beliau juga, dakwaan penyaluran dana tersebut menimbulkan spekulasi sumber kewangan Umno yang terpalit dengan penyelewengan skandal-skandal korupsi institusi dana awam seperti 1MDB, Felda dan Tabung Haji sehingga boleh menyalurkan sebahagian kepada sebuah parti politik.

“Persoalan yang menjadi tanda tanya di kalangan masyarakat khususnya orang Islam di negara ini menuntut kepada siasatan segera sama ada wujud apa-apa pelanggaran peruntukan undang-undang seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahupun Akta Pengubahan Wang Haram,” tegasnya.

TAGS