Pemuda Amanah laksana kempen ‘turunkan harga rumah’

Pemuda Amanah laksana kempen ‘turunkan harga rumah’

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Menyedari keperluan kediaman mampu milik yang semakin mendesak terutama daripada golongan muda, Pemuda Amanah Nasional akan melancarkan kempen ‘Gerakan Turunkan Harga Rumah’ dengan kerjasama ahli akademik dan profesional hartanah.

Ammar memberikan pandangan dalam satu majlis dialogTimbalan Exco Pembangunan Kepimpinan Pemuda Amanah Nasional, Mohd Ammar Atan berkata, harga rumah tidak harus dibiarkan naik menggila memandangkan kediaman selesa adalah keperluan asas segenap lapisan rakyat.

Menurut beliau, majoriti rakyat berpendapatan rendah dan sederhana kini sukar mendapatkan rumah pada harga munasabah.

“Kalau ikutkan standard taraf gaji digariskan oleh PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu), pendapatan minimum rakyat di Malaysia sepatutnya RM2,500 sebulan
berdasarkan pendapatan negara dibahagikan dengan pendapatan isi rumah.

“Kita jauh lagi. Gaji minima di Malaysia juga terlalu rendah berbanding peningkatan kos hidup. Oleh sebab itu, Pemuda Amanah akan memberi fokus kepada tiga perkara utama yang banyak menekan kewangan golongan muda pada masa ini iaitu pembiayaan pendidikan, kereta dan perumahan selain kos sara hidup ekoran pelaksanaan GST,” ujar Pengarah Sekolah Kepimpinan (School of Leadership) Pemuda Amanah itu kepada Malaysia Dateline.

Mengulas lanjut mengenai perlunya kesedaran ekonomi mengatasi fahaman perkauman dan agama sempit, Ammar berpendapat generasi muda Melayu khususnya harus kritis dengan musuh sebenar mereka iaitu penguasaan golongan maha kaya yang gagal dikawal oleh kerajaan.

“Kesedaran ekonomi penting tetapi proses mendidik rakyat itu lagi penting. Majoriti Melayu pada realitinya sedang berdepan dengan tekanan ekonomi. Contohnya bila GST dilaksanakan, paling teruk terpukul adalah orang Melayu tetapi malangnya ramai daripada mereka tidak sedar akibat mudah diubati dengan polemik tidak berkesudahan tentang sentimen sempit Melayu dan agama selain pemberian BR1M secara berkala itu,” ujarnya.

Bekas Presiden Persatuan Mahasiswa UM (PMUM) itu juga berkata, sebanyak 80 peratus kekayaan negara dimiliki oleh 20 peratus individu berstatus billionaire dengan hasil kekayaan dan kemakmuran ekonomi itu tidak kembali kepada rakyat.

“Ini hasil daripada dasar monopoli ekonomi dalam kalangan kroni-kroni parti pemerintah Umno-BN walaupun tidak dinafikan ada sesetengah individu yang terkaya di negara ini adalah hasil usahanya sendiri.

“Namun, apa yang jelas sekelompok kecil orang maha kaya yang menguasai negara ini sebenarnya banyak disokong kerajaan secara langsung mahupun tidak langsung. Kita lihat kerajaan gagal mengutip sejumlah hutang daripada golongan ‘billionaire’ ini.

“Pada masa sama, ketika rakyat miskin turut dicukai melalui GST, kerajaan entah bila akan melaksanakan cukai korporat lebih daripada 20 peratus walhal di Amerika, ada calon Presidennya bercadang mahu menaikkan cukai korporat,” tambahnya lagi.

TAGS