Pemuda AMANAH Nasional cabar Noh Omar berdebat

Pemuda AMANAH Nasional cabar Noh Omar berdebat

Pemuda AMANAH Nasional mencabar Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar berdebat mengenai masalah perumahan rakyat di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Pemuda AMANAH Nasional, Mohamad Ammar Atan berkata, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkenaan dilihat sengaja mempolitikkan isu perumahan rakyat.

“Saya cabar Tan Sri Noh Omar berdebat dengan saya. Tan Sri Noh Omar tak perlu pergi jauh-jauh. Saya sendiri anak muda tawarkan diri untuk berdebat dengan beliau,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cabaran Noh terhadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali untuk berdebat kononnya bagi mencari penyelesaian isu rumah mampu milik di negeri itu.

Ammar berpendapat kerajaan Persekutuan sendiri tidak dapat mencapai sasaran pembinaan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) ketika Ahli Majlis Tertinggi Umno itu menyerang Selangor berhubung isu perumahan mampu milik.

Menurutnya, kerajaan Umno-BN gagal menepati janji untuk menyediakan 1.1 juta rumah mampu milik menjelang 2018 apabila Noh sebelum ini memberitahu di Parlimen hanya 241,575 unit rumah mampu milik telah siap sehingga akhir April lalu.

PR1MA dan agensi perumahan kerajaan persekutuan juga, jelasnya, tidak fokus untuk menyediakan rumah mengikut kemampuan rakyat yang puratanya bernilai kurang RM300,000 seperti dibentangkan dalam Laporan Bank Negara 2015.

{loadposition myposition}

“Usah bicara soal rumah Selangor gagal atau tidak, PR1MA pun kerajaan pusat gagal mencapai target. Ini pula mahu bicara tentang perumahan rakyat di negeri Selangor,” bidasnya lagi.

Pemuda Pakatan Harapan Julai lalu menawarkan beberapa langkah signifikan jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dalam usaha mengekang salahguna spekulator hartanah.

Gabungan sayap Pemuda keempat-empat parti di bawah Pakatan Harapan itu berpendapat harga unit rumah PR1MA mampu dikurangkan sehingga RM100,000 berbanding RM400,000 pada masa ini.

Kos tidak logik

Dalam perkembangan berkaitan, pegawai syarikat hartanah di ibu negara yang mahu dikenali sebagai Hafiz berpendapat kos projek PPR di Langkawi yang mengandungi 1,000 unit rumah seperti diumumkan Perdana Menteri pada 19 Ogos lalu sebagai melampau.

“Kos tidak logik. Satu unit menelan kos RM247,000 dan dipanggil ‘Projek Perumahan Rakyat’? Biasa kami pernah buat kurters kerajaan hanya RM180,000 seunit siap dengan perabot,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Mengulas lanjut, Hafiz berpendapat faktor lokasi projek itu dilihat mempengaruhi kos logistik termasuk mengangkut bahan binaan tetapi pada masa sama tidak menolak wujudnya kemungkinan ‘sumbangan’ bermotif politik.

Bagaimanapun beliau berharap projek PPR terdiri daripada dua blok 11 tingkat di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Hangat dan tiga blok 11 tingkat di Dun Kuah yang dijangka siap pada 2019 itu tidak terbengkalai.

“Jangan jadi projek gajah putih. Di Bagan Datoh contohnya, papan projek saja naik. Projeknya tidak gerak apa pun lagi,” ujarnya merujuk kepada pelbagai projek yang diumum di Parlimen disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Timbalan Perdana Menteri itu.

CATEGORIES
TAGS