Pemuda Amanah persoal elaun pelajar matrikulasi hanya RM500

Pemuda Amanah persoal elaun pelajar matrikulasi hanya RM500

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Menteri Pendidikan diminta menjelaskan tentang pembayaran elaun kepada pelajar matrikulasi yang hanya berjumlah RM500 bagi semester ini berbanding kelazimannya RM1,250.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil berkata, bayaran tersebut menjadikan kerajaan berhutang sebanyak RM750 kepada setiap pelajar matrikulasi yang dianggarkan hampir 30,000 di seluruh negara.

“Kerajaan hanya perlu berbelanja RM37.5 juta setiap semester bagi meringankan beban pelajar dengan bantuan kewangan kepada semua pelajar matrikulasi.

“Namun, jika elaun yang dijanjikan tidak ditunaikan, dibimbangi pelajar terpaksa mengikat perut dan keadaan ini pasti menjejaskan tumpuan kepada pelajaran, sedangkan pendidikan adalah sektor utama pembangunan negara,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jumlah elaun kepada pelajar matrikulasi itu tidaklah terlalu besar jika dibandingkan dengan projek gajah putih kerajaan yang membazir.

“Terkini, kerajaan sanggup berbelanja RM650 juta untuk projek Taman Tugu sedangkan kebajikan pelajar adalah lebih penting dalam pembangunan negara.

“Adakah kerajaan kehabisan dana? Ke mana perginya kutipan GST (cukai barang dan perkhidmatan) berbilion ringgit? Sepatutnya, diagih semula kepada rakyat secara telus dan adil terutama golongan pelajar,” tegasnya.

Sehubungan itu, Faiz menggesa kerajaan mengkaji semula bajet pendidikan yang dipotong sebanyak RM2.4 bilion serta memotong bajet Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi membantu pelajar matrikulasi yang kebanyakannya adalah orang Melayu.

“Melalui pendidikan, taraf ekonomi dan kehidupan orang Melayu boleh dipertingkatkan. Tambahan pula, biasiswa kepada orang Melayu dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, kegagalan kerajaan membayar penuh elaun pelajar matrikulasi merupakan tindakan yang tidak menghormati hak istimewa ini,” tambahnya lagi.

TAGS