Pemuda Amanah Selangor tolak cadangan persempadanan

Pemuda Amanah Selangor tolak cadangan persempadanan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pemuda Amanah Negeri Selangor hari ini menolak cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya secara total kerana menggunakan kaedah “gerrymandering” yang berat sebelah.

Ketua Pemudanya, Abbas Azmi berkata, bantahan itu juga memandangkan persempadanan oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mempunyai unsur perkauman yang seolah- olah mahu memberi kelebihan kepada Umno-BN dan pada masa sama menekan pihak lawan.

Sehubungan itu, pihaknya bersama pimpinan Amanah negeri telah menghantar bantahan rasmi kepada SPR demi memastikan tuntutan rakyat untuk mendapatkan pilihan raya yang bersih dan adil terlaksana.

“Kami juga mencadangkan supaya SPR menarik balik cadangan persempadanan semula ini.

“Kami mengingatkan SPR supaya tidak memihak pada mana-mana parti dan sewajibnya SPR bebas daripada pengaruh parti politik.

“Jangan nanti dek kerana arahan pihak tertentu akan menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada pentadbiran dan pengurusan SPR,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abbas, pihaknya menyokong perjuangan untuk memulihkan demokrasi di negara ini termasuk kempen yang telah dan sedang dijalankan oleh pihak Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil (Bersih) 5.

“Kami menaruh keyakinan yang tinggi kepada Gabungan Bersih 5 ini dengan kempen aman dan tiada unsur negatif.

“Walau bagaimanapun kami merasa terkilan dengan penglibatan ‘geng baju merah’ yang mengganggu perjalanan kempen Bersih 5 ini sehinggakan melibatkan keganasan, ugutan dan provokasi yang melampau,” tambahnya lagi.

TAGS