Pemuda Amanah tiada tolak ansur dengan perompak wang negara

Pemuda Amanah tiada tolak ansur dengan perompak wang negara

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) tidak sekali-kali akan menjadi macai kepada perompak negara.

Sebaliknya Pemuda Amanah akan menentang habis-habisan mana-mana pihak yang cuba bersekongkol dengan perompak negara yang menyalahgunakan dana rakyat demi kepentingan tertentu sehingga memaksa rakyat menanggung beban yang amat berat.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil berkata demikian dalam program ceramah penerangan isu semasa yang telah diadakan di Padang Serai, Kedah.

“Kita jangan jadi seperti Pemuda Umno yang cuba menjadi macai pada perompak negara dengan mempertahankan skandal dan penyelewengan yang dilakukan pemimpin mereka.

“Kalau dah tahu pemimpin itu korup, seleweng dan salah guna kuasa, walaupun ia Melayu, kita mesti tentang habis-habisan.

“Oleh kerana itu kita mendesak Ketua Polis Negara supaya segera menangkap mereka yang berada di Putrajaya dan mencuri duit rakyat, jangan asyik ikut punggung pemimpin pembangkang sahaja, ” tegasnya sambil mendapat tepukan gemuruh hampir 300 hadirin.

Beliau juga menegur usaha kerajaan menambahbaik dan memperelokkan Tugu Peringatan Negara dengan kos yang melampau sehingga mencecah RM650 juta.

Malah katanya, masih ramai lagi anak-anak bekas tentera serta bekas tentera yang memerlukan kepedulian kerajaan bagi membela nasib mereka.

Namun begitu, kepedulian tersebut tidak menjadi prioriti yang harus diberi keutamaan oleh kerajaan kini.

“Kerajaan boleh memberi pembelaan kepada anak-anak bekas tentera dengan memberi biasiswa kepada anak-anak tentera.

“Mereka mampu untuk membela nasib bekas tentera yang majoritinya Melayu masih ramai melarat selepas persaraan.

“Kenapa tidak bantu secara total bekas-bekas tentera dan anak tentera yang memerlukan bantuan di seluruh negara secara serius, ” tanya beliau lagi.

Ia juga menempelak Umno yang acapkali mendendangkan laungan ‘Hidup Melayu’ tetapi tidak bersungguh-sungguh memastikan ‘Melayu Hidup’ dengan penuh serba-serbi.

Sebaliknya Melayu masih lagi hidup dengan seribu satu macam kedaifan dan kesengsaraan dibawah kepimpinan Umno dan BN.

“Untuk apa dilaungkan kalimah keramat ‘Hidup Melayu’ sedangkan tanah Melayu dirampas dan tidak dipulangkan kembali.

“Perlu apa dilaungkan kalimah ‘Hidup Melayu’ seandainya nasib Melayu masih tidak terbela sehinggakan kemiskinan menjadi nombor satu milik mereka.

“Untung apa jika ‘Hidup Melayu’ dilaungkan, sekiranya yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin melarat dibawah kepimpinan Umno dan BN, ” katanya lagi.

Beliau juga menyeru orang Melayu supaya bangkit dan berani untuk membuat perubahan dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang akan datang.

“Jika Melayu berani bangkit untuk menolak pemerintahan Umno dan BN, yakinlah kemenangan menjadi milik yang sedang menanti.

“Majoriti pengundi adalah Melayu, maka tidak ada sebab Umno dan BN tidak boleh ditolak sekiranya kita serius untuk menukar kerajaan yang korup, zalim dan menyusahkan hidup rakyat.

“Ayuh bangun dan berani untuk membuat perubahan, supaya kuasa dapat bertukar kepada Amanah dan Pakatan Harapan dengan menawarkan pelbagai pembelaan untuk rakyat dalam PRU yang akan datang, ” desaknya lagi.

TAGS