Pemuda Amanah tuntut Annuar Musa jawab pembongkaran TMJ

Pemuda Amanah tuntut Annuar Musa jawab pembongkaran TMJ

Pemuda Amanah Nasional menggesa Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa menjawab pembongkaran Tengku Mahkota Johor (TMJ) hari ini berhubung sejumlah tajaan The Red Warriors (TRW) yang diperoleh daripada dana anak-anak syarikat Mara.

Naib Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, pembongkaran pemilik kelab bola sepak JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu dengan turut menyertakan dokumen transaksi yang melibatkan UniKL (RM500,000) dan Pelaburan Mara Berhad (RM200,000) itu satu tuduhan serius.

“Apatah lagi melibatkan Mara yang tujuannya jelas untuk membantu Bumiputera dalam bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan. Bukan menjadi penampan untuk ‘membantu’ mana-mana pasukan bolasepak.

“Dengan jumlah yang banyak dikeluarkan daripada UniKL, alangkah lebih bermanfaat jika wang tersebut digunakan untuk menaja lebih ramai lagi anak-anak muda menyambung pengajian di situ,” tegasnya dalam kenyataan beliau hari ini.

Beliau berkata, Annuar Musa yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu sebagai orang politik dan bertanggungjawab kepada rakyat tidak boleh terus berdiam diri.

“RM700,000 bukan satu jumlah yang sedikit. Walau memahami betapa sukarnya TRW bergelut mencari sumber kewangan bagi meneruskan saingan untuk musim 2017, ia tetap tidak menjadi jalan pintas untuk mana-mana agensi ‘dirompak’ sedemikian rupa,” bidasnya.

Justeru, beliau mendesak Annuar yang juga Ketua Penerangan Umno itu supaya wajib tampil menjelaskan justifikasi setiap tajaan terbabit dan sejauh mana kesemua tajaan tersebut benar-benar membantu Bumiputera.

“Jika gagal, Anuar Musa bertanggungjawab untuk mengembalikan semula RM700,000 itu ke kantung asalnya,” tegas Shazni lagi.

Terdahulu, TMJ dalam kenyataan di Facebook rasmi JDT, hari ini menyifatkan Annuar tergamak menggunakan wang rakyat untuk pasukan TRW ketika ekonomi negara tidak menentu.

“Tidak cukup dengan pelaburan Mara yang Tan Sri paksa, UniKL juga turut menjadi mangsa. UniKL terpaksa mengurangkan biasiswa pelajar-pelajar Malaysia dari RM2 bilion kepada RM1.3 bilion bagi tahun 2016,” tempelak TMJ seperti dipetik.

Dalam perkembangan berkaitan, Annuar pada 9 Januari lalu mengumumkan Mara memperoleh keuntungan sebanyak RM31 juta selepas mengambil kira pelaburan bersama anak-anak syarikat sepanjang 2016.

Menurutnya, PMB turut mencatatkan keuntungan sebanyak RM18.7 juta tahun lalu iaitu meningkat daripada RM4.7 juta pada tahun sebelumnya sementara dana permulaan yang diuruskan PMB dengan aset sebanyak RM700 juta juga meningkat kepada RM751 juta.

TAGS