Pemuda didakwa kritik Agong mohon maaf

Pemuda didakwa kritik Agong mohon maaf

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ekoran kritikan berkaitan Yang di-Pertuan Agong baharu yang kemudiannya viral di media sosial, pengguna Facebook atas nama Mohd Faiz tampil memohon maaf dan memberi penerangan tentang apa yang dimaksudkannya sebelum ini.

“Ingin diakui keterlanjuran kata dan bahasa diri ini dalam menyampaikan buah fikiran saya di dalam media sosial ini, dengan merujuk kepada posting FB yang sebelum ini tentang kuasa YDPA dan institusi Majlis Raja-raja.

“Saya merafak sembah dan memohon maaf kepada YDPA dan sekalian rakyat Malaysia atas kenyataan yang dilihat menyinggung. Posting itu dihiasi dengan semangat anak muda yang inginkan perubahan kearah Malaysia yang lebih baik,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, beliau langsung tiada niat menghina Yang di-Pertuan Agong dan institusi Raja-Raja sebaliknya hanya mahu melihat kuasa Majlis Raja-raja diperkukuhkan dalam menjaga institusi Islam dan Melayu di negara ini.

“Itulah yang dimaksudkan dengan Kesalehan Sosial yang saya suarakan sebelum ini. Institusi Raja bukan sahaja Soleh Spiritual, malah Soleh Sosial (dengan maksud mempunyai peranan dan tanggungjawab sosial).

“Negara unggul yang kita impikan tentunya negara yang membahagiakan dan sekaligus membanggakan. Atas dasar itulah, peranan YDPA dan Raja-Raja serta institusi Islam lainnya dapat berfungsi dengan baik,” jelasnya.

Sehubungan itu, institusi Yang di-Pertuan Agong, katanya, tidak harus sekadar terlalu dipuja tanpa peranan yang signifikan.

“Kita tidak mahu nama Agong itu fungsinya dilihat secara literal pada namanya. Contohnya jika dia seorang guru, dia bukan hanya digurukan, malah dibapakan, dimurabbikan, dimentorkan. Kita tidak mahu nama Agong itu hanya tinggal di Agung agungkan, tanpa sebarang peranan yang besar,” ujarnya.

Terdahulu, Faiz turut memetik kesetiaan Melayu yang bersyarat dan bersyariat antara Demang Lebar Daun yang mewakili rakyat dan Seri Teri Buana di pihak raja.

“Sebolehnya saya mahu mengelakkan salah faham yang berpanjangan atas posting saya yang sebelum ni. Dan mahu melihat negara ini bersama semua pemimpin dan rakyat terus hidup makmur semakmurnya dan sebahagianya,” tambahnya lagi.

Pendapat Faiz yang menjadi tular di media sosial itu susulan daripada sikap sesetengah pihak yang dilihat terlalu memuja Yang di-Pertuan Agong yang tampil bersederhana turun ke masjid menunaikan solat berjemaah.

Parti Amanah Negara (Amanah) secara tidak langsung turut dikecam terutamanya oleh pihak dipercayai penyokong Umno dan Pas hanya kerana status Faiz itu disebar bersama-sama fotonya dengan logo parti yang baharu sahaja selesai konvensyen kali pertama minggu lalu.

Netizen ramai komen 

Sehubungan itu, ramai netizen menganggap isu tersebut sengaja diperbesar atas faktor politik bahkan tidak kurang juga yang menyifatkan teguran Faiz terhadap Yang di-Pertuan Agong sebelum ini bukanlah satu bentuk penghinaan seperti didakwa.

“Budak yang kata Sultan Muhammad V patut letak jawatan tu viral bukan sebab statusnya pun dan diviralkan bukan dengan tujuan statusnya tapi logo parti Amanah yang jelas terpampang di muka-muka blog dan disebar luas khususnya oleh para macai Umno dan walaun zombie, Pas. Itu je isunya. Kata walaun, itulah stand (pendirian) Amanah. Punyalah bongek,” ujar Akram Yusof.

Sementara itu, Daie Megat Arjuna turut berpendapat statuf Facebook Faiz yang dianggap sebagai ahli parti Amanah itu bukannya menghina Yang di-Pertuan Agong.

“Hari ini (17 Disember) heboh dalam media sosial menyatakan bahawa ada seorang ahli Amanah didakwa menghina YDPA dalam status facebook. Namun begitu setelah aku buka dan lihat beberapa tulisan beliau, aku tak nampak pun mana-mana status beliau dalam facebook yang menghina YDPA.

“Yang ada cuma dia persoal kenapa orang Melayu duk agung-agungkan YDPA yang pergi solat di masjid. Tu jer. Adakah apabila beliau mempersoal kebodohan kalian yang duk viral pasal YDPA pergi solat tu satu penghinaan?” bidasnya.

Sehubungan itu, beliau mempersoal pemikiran sempit sesetengah orang Melayu yang dilihat tidak dapat membezakan antara teguran dengan penghinaan.

“Sebenarnya aku tak faham dengan pemikiran orang Melayu Islam sekarang ini. Kenapa cetek sangat otak dan akal sampaikan orang tegur pun dianggap hina? Orang tu tegur pasal kebodohan korang. Bukan hina YDPA solat. Lagi terkilan, kawan-kawan kepada si penulis tersebut pun turut sama menghentam beliau.

“Sepatutnya korang backup dia. Bagi semangat dekat dia. Sebab dia bukan hina YDPA pun. Dia bukan maki YDPA. Tapi dia tegur kebodohan rakyat Melayu Islam Malaysia (termasuk dari parti Amanah sendiri) bahawa memviralkan YDPA duk solat adalah satu perkara yang sia-sia,” tegasnya lagi.

Bagi Mat Alishah, tiada apa yang pelik bagi Yang di-Pertuan Agong bersembahyang di masjid dengan penampilan seperti rakyat biasa melainkan lebih istimewa jika Yang di-Pertuan Agong mengarahkan beberapa isu nasional diselesaikan.

“Aku hairanlah tengok bila kita jadi seronok dan bangga bila Tuanku turun solat. Pakai capal crook. Pandu kereta pi surau masjid solat jamaah. Pada aku itu biasa. Tak perlu nak seronok sangat benda yang Tuanku buat tu tak ada yg peliknya.

“Jika kita semua hari-hari dok buat macam Tuanku. Tuanku solat jamaah. Kita pun juga Allah suruh solat berjamaah. Tuanku pakai capal crook. Kita pon pakai.

“Melainkan Tuanku arah jangan OSA kan laporan 1MDB, SPRM tangkap jerung kecik besaq bawa kemuka pengadilan, bagi pindaan Akta 355 berjaya direalisasikan. Itu baru satu keindahan dan kemanisan,” ujar Mat Alishah lagi.

TAGS