Pemuda Pakatan Harapan Sabah desak isu keselamatan diselesaikan

Pemuda Pakatan Harapan Sabah desak isu keselamatan diselesaikan

Pemuda Pakatan Harapan Sabah  hari ini  menyerahkan satu memorandum mendesak Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, menyelesaikan isu keselamatan Sabah dengan segera.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pemuda Pakatan Harapan  ketika menyerahkan memorandum di pejabat Ketua Menteri hari ini.

 

Pemuda Pakatan Harapan Sabah  hari ini  menyerahkan satu memorandum mendesak Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, menyelesaikan isu keselamatan Sabah dengan segera.

Pemuda Amanah Sabah melalui Pengarah Komunikasinya, Khairuddin Daud menyatakan rasa kesal dengan tindakan pihak berkuasa yang tidak serius dalam menangani isu keselamatan di Sabah.

“Serahan memorandum kepada Ketua Menteri Sabah pada hari ini adalah ekoran kekesalan kami Pemuda Pakatan Harapan terhadap kerajaan negeri Sabah yang tidak mengambil perhatian serius mengenai isu keselamatan di Sabah. Dalam memorandum tersebut, kita nyatakan isu-isu keselamatan perairan Sabah, kes penculikan yang pernah berlaku serta cadangan kami diperingkat Pemuda Pakatan Harapan dalam menyelesaikan isu ini”, katanya.

“Kami mencadangkan agar diadakan satu sidang Dun Khas bagi membincangkan isu keselamatan Sabah. Selain itu, kami juga menggesa isu rasuah dibasmi di kalangan pasukan keselamatan dan mewujudkan satu Jawatankuasa Tindakan Khas Pertahanan Perairan Sabah yang melibatkan ahli politik, akademik, dan institusi keselamatan negara bagi merangka pelan strategik menangani isu ini”, tambahnya.

Memorandum tersebut telah diterima oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah.

Selain itu, wakil Angkatan Muda Keadilan (AMK), Razeef Rakimin berkata, penyebaran klip video tersebut sangat memalukan negara.

“Sikap tidak serius kerajaan dalam menangani isu keselamatan sangat memalukan nama negara di mata dunia, khususnya negara jiran kita Indonesia. Boleh kita lihat sendiri dalam klip video tersebut, bot yang digunakan hanya lalu disebelah bot anggota Polis, namun tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa samada memeriksa ataupun menahan bot tadi. Jadi pada saya, ia menggambarkan tahap keselamatan perairan kita di Sabah”, ujarnya.

Selain itu, Ketua Pemuda Amanah Nasional, Sany Hamzah mencadangkan agar ditubuhkan satu Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan isu keselamatan perairan Sabah.

“Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan perlu mengambil serius isu keselamatan perairan Sabah. Seringkali kita mendengar banyak sekali insiden penculikan berlaku di perairan Sabah. Justeru kami di peringkat Pemuda Amanah Nasional mencadangkan satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi membincangkan dan menyelesaikan isu keselamatan ini secara serius”, katanya.

Pada 23 September lalu, satu klip video berdurasi 10 minit mendedahkan seorang wartawan menyamar sebagai TKI menyelinap masuk ke Sabah melalui daerah Tawau tanpa sebarang dokumen dan sekatan daripada pihak berkuasa. Video tersebut turut mendedahkan pihak berkuasa tempatan menerima RM 50 hingga RM 100 daripada Tenaga Kerja Indonesia untuk tiba di Sabah melalui daerah Tawau.

TAGS