Pemuda Pas sokong Kaukus Parlimen hapuskan perjudian

Pemuda Pas sokong Kaukus Parlimen hapuskan perjudian

Dewan Pemuda Pas Pusat hari ini menyokong penubuhan Kaukus Parlimen mengenai perjudian haram bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap masalah tersebut.

Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz berkata, cadangan berkenaan yang dibangkitkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan penting bagi meneliti dan menghapuskan segala amalan perjudian yang berlaku di negara ini.

“Isu perjudian menjadi perhatian utama perbincangan dalam sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

“Dalam sesi tersebut, Datuk Seri Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri juga menyatakan bahawa Negeri Kelantan seharusnya menjadi contoh dalam menghapuskan segala bentuk perjudian di negeri tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, langkah itu dikuatkuasakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 1992 dibawah pemerintahan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan legasi itu diteruskan sehingga kini.

“Langkah tersebut begitu signifikan bagi memastikan Malaysia bersih dari amalan perjudian yang telah terbukti meruntuhkan keharmonian kekeluargaan dan sistem sosial masyarakat,” ujar beliau.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa agar kaukus yang dibentuk meneliti aspek pendidikan dan perundangan sebagai pelengkap kepada langkah menghapuskan amalan perjudian di samping memupuk nilai kefahaman agama yang sebenar kepada masyarakat keseluruhannya.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan akan membawa usul penubuhan Kaukus Parlimen berkenaan ke mesyuarat mingguan Kabinet Jumaat ini.

TAGS