Penahanan aktivis muda Sabah didakwa akibat kritik penguasa politik

Penahanan aktivis muda Sabah didakwa akibat kritik penguasa politik

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Biro Undang-Undang (KANUN) AMANAH menentang sekeras-kerasnya cubaan salahguna kuasa terhadap pembangkang melalui politik intimidasi.

Menurut Timbalan Pengerusinya, Wan Anwar Wan Ibrahim, tindakan polis menahan pengasas Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah, Jufazli Shi Ahmad sejak semalam difahamkan atas arahan politik.

Beliau berkata, peguam-peguam KANUN yang mewakili Jufazli membantah lanjutan tempoh reman selama empat hari lagi bermula hari ini yang dipohon pihak polis diwakili Inspektor Yanti.

Jufazli, jelasnya, memberikan kerjasama kepada pihak polis dalam proses siasatan sepanjang tempoh tahanan dan barang-barang kes turut telah diambil oleh pihak polis.

“Siasatan-siasatan yang dibuat terhadap saudara Jufazli adalah hanya berpunca daripada posting kritikan terhadap kerajaan negeri yang dimuatnaik dalam laman facebook beliau yang pihak polis sendiri atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sendiri boleh akses terhadapnya,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Anwar yang mengetuai pasukan guaman KANUN bagi proses reman anak muda itu berkata, siasatan-siasatan yang sedang dilakukan terhadap Jufazli adalah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (Akta 574), Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15).

“Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak peguam dan polis, Majistret Maizatul Munirah akhirnya memberikan tempoh lanjutan selama tiga hari sahaja bermula hari ini.

“KANUN juga telah berurusan dengan pasukan guaman di Sabah untuk membuat pantauan terhadap kes saudara Jufazli di sana,” tambah Wan Ibrahim yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional dan Penasihat Undang-Undang Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah.

Esok, Jufazli yang juga lulusan Sarjana Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dijadualkan akan dihantar ke Sabah bagi tujuan reman tersebut.

Jufazli adalah antara pelajar Sabah terbaik STPM 2008.

Beliau juga merupakan salah seorang daripada enam pelajar terbaik Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) peringkat negeri Sabah dengan memperoleh PNGK 4.00 pada 2008.

Jufazli dikenali banyak mendedahkan kepincangan pemimpin BN di Sabah. Antaranya pada 3 November lalu, beliau menulis tentang bagaimana Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan keluarga Pengerusi Umno di negeri itu menjadi kaya-raya.

“Musa Aman mempunyai ‘bayangan’ pegangan saham atas nama Michael Chia atau dikenali sebagai Chia Tien Foh di CTF International Ltd dan dua syarikat asing lain untuk menyembunyikan kekayaannya di luar negara.

“Skandal merompak wang kayu balak jutaan ringgit yang disimpan di akaun peribadi Musa Aman di negara Hongkong seperti yang pernah didedahkan oleh pemerhati antarabangsa sejak tahun 2012 lagi adalah melibatkan modus operandi aktiviti kewangan luar pesisir (offshore).

“Apabila ada kuasa sebagai Ketua Menteri dan Menteri Kewangan, ini adalah kelebihan untuk ‘hilangkan’ duit rakyat Sabah demi kekayaan diri sendiri,” tulis Jufazli.

TAGS