Penahanan Isa: Adakah Pengerusi Majlis Ekonomi hanya ‘tunggul kayu’?

Penahanan Isa: Adakah Pengerusi Majlis Ekonomi hanya ‘tunggul kayu’?

Penahanan reman bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran kes pembelian hotel di London dan Kuching yang didakwa melebihi harga pasaran menimbulkan persoalan berhubung peranan Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Majlis Ekonomi yang sepatutnya meluluskan pembelian itu.

Ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli ketika membangkitkan persoalan ini yakin Isa hanya dijadikan ‘kambing hitam’ bagi menyelamatkan kedudukan orang yang lebih atas.

“Sementara saya lega kerana akhirnya ada siasatan ke atas penyelewengan wang Felda yang akan membebankan rakyat Malaysia untuk berpuluh tahun akan datang, saya juga tidak mudah terpedaya bahawa siasatan ini adalah ikhlas dan menyeluruh.

“Saya sudah dapat menghidu seawal Februari 2017 lagi bahawa ini akan berlaku kerana memang perkiraan itu telah dibuat lebih awal.

“Sebab itu, saya menyeru rakyat Malaysia dan rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan agar tidak ghairah bertepuk tangan dengan penahanan Tan Sri Isa Samad kerana itu belum tentu akan dapat merungkai kesemuanya sekiranya penyelewengan ini tidak disiasat secara menyeluruh,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Rafizi, kes Isa menjadi contoh bagaimana budaya pertanggungjawaban di negara ini hanya memberi tumpuan kepada ‘kambing hitam yang menjadi korban’ sedangkan ketua atau badan yang bertanggungjawab mengawal selia dan meluluskan tindakan-tindakan individu yang didakwa tidak disentuh dan kekal di jawatan mereka.

“Sebab itu apabila sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) rugi besar, yang dihukum hanyalah Ketua Pegawai Eksekutifnya sedangkan Lembaga Pengarah yang turut bertanggungjawab membuat kesemua keputusan besar yang dilaksanakan oleh CEO tidak dikenakan tindakan,” jelas beliau.

Menurut Rafizi, Isa bukanlah individu akhir yang membuat keputusan pembelian hotel-hotel mewah di Kuching dan London oleh Felda kerana terdapat badan lebih tinggi yang sepatutnya menolak dan membatalkan hasrat Felda untuk membeli hotel-hotel tersebut.

Beliau memberi contoh pengalamannya mengendalikan skandal pembelian tiga unit hartanah di Australia oleh MARA yang harganya dinaikkan hampir dua kali ganda apabila menteri yang bertanggungjawab mengesahkan bahawa cadangan pembelian hartanah luar negara itu telah dibentangkan dan diluluskan oleh Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Najib.

{loadposition myposition}

“Malah laporan Astro Awani dengan secara jelas juga memetik (Pengerusi MARA ketika itu) Tan Sri Anuar Musa sebagai mengesahkan bahawa kelulusan dari Perdana Menteri (melalui Majlis Ekonomi) adalah sebahagian dari prosedurnya,” jelas beliau.

Majlis Ekonomi mengambil alih tugas Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaburan yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal pelaburan negara.

Oleh yang demikian, Rafizi yakin pembelian hotel di London oleh Felda perlu melalui proses kelulusan yang sama.

Sehubungan itu, Naib Presiden PKR itu menyarankan agar Najib dan anggota Majlis Ekonomi juga perlu disiasat kerana turut meluluskan pembelian hotel di London oleh Felda Investment Corporation (FIC).
 
“Jika ada bukti mereka tahu bahawa pembelian itu ada unsur penyelewengan kerana harganya lebih mahal tetapi mereka tetap meluluskannya, mereka perlu disiasat pula sama ada mereka mendapat habuan. Jika ada bukti mereka mendapat habuan, mereka juga perlu ditahan seperti Tan Sri Isa Samad,” tegasnya.

Rafizi menambah, jika Majlis Ekonomi tidak mengetahui wujud unsur penyelewengan dalam pembelian itu dan gagal menyemak harga pasaran hotel tersebut, anggota majlis tersebut boleh dianggap “tunggul yang makan gaji buta kerana gagal atau cuai menjalankan amanah”.

“Mereka perlu dipecat atau jika mereka bermaruah, mereka perlu meletakkan jawatan,” gesa beliau.

Menurut Rafizi, mereka yang didakwa melakukan rasuah hanyalah sebahagian kecil dari ekosistem pentadbiran negara yang mendokong dan membenarkan rasuah berleluasa.

“Jika kita benar-benar mahu membanteras rasuah, kita perlu memerangi keseluruhan ekosistem rasuah ini termasuklah dengan menuntut satu teladan pertanggungjawaban yang tertinggi di kalangan menteri dan pegawai kanan kerajaan yang menduduki kerusi-kerusi penting seperti Majlis Ekonomi,” katanya.

TAGS