Penahanan Rafizi ikut undang-undang, kata Ahmad Zahid

Penahanan Rafizi ikut undang-undang, kata Ahmad Zahid

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tindakan polis menahan Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli di luar bangunan Parlimen Selasa lepas adalah mengikut undang-undang sedia ada, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas dakwaan bahawa tindakan menahan Rafizi itu menyalahi Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia akan membuat keputusan hari ini bagi menjawab segala persoalan itu.

“Saya yakin keputusan yang akan dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat hari ini akan menjawab semua persoalan itu.

“Saya yakin tindakan yang dilakukan oleh polis berdasarkan undang-undang sedia ada dan telah diluluskan oleh anggota Parlimen yang dahulu atau yang sekarang,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Rafizi, yang juga Naib Presiden dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), ditahan kira-kira 6.20 petang dua hari lepas sejurus keluar dari bangunan Parlimen bagi membantu siasatan berhubung pendedahan dokumen rasmi dan dakwaannya terhadap Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Beliau direman tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Sebelum ini, LTAT dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Rafizi berhubung dakwaannya mengenai pembayaran gratuiti kepada veteran LTAT.

Pengerusi LTAT Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata dakwaan Rafizi itu adalah fitnah semata-mata dan berniat jahat, serta bertujuan memusnahkan reputasi baik dan kredibiliti LTAT.

 

TAGS