Penangguhan elaun Kolej Matrikulasi Labuan menafikan hak pelajar

Penangguhan elaun Kolej Matrikulasi Labuan menafikan hak pelajar

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Penangguhan elaun pelajar Kolej Matrikulasi Labuan ternyata mengabaikan kebajikan dan penafian hak pelajar kata Timbalan Pengerusi Amanah Negeri Sabah Alias Sani.

Beliau juga menyatakan rasa terkilan dengan tindakan pihak berwajib yang mengabaikan kebajikan satu-satunya kolej matrikulasi di Borneo itu.

“Tempoh 3 bulan yang telah berlalu merupakan penafian hak oleh pihak berwajib terhadap para pelajar Kolej Matrikulasi Labuan.

“Saya berasa terkilan apakah ini akan berlaku kepada Panda yang ‘dipinjam’ dari China tidak diberi makan selama 3 bulan lebih diutamakan berbanding kebajikan rakyat dan pelajar yang menjadi tonggak pada masa depan negara.

“Adakah kebajikan panda dan pegawai kroni yang mencuri duit rakyat Sabah lebih utama daripada ribuan nasib pelajar Kolej Matrikulasi Labuan”, ujarnya.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan pengurangan elaun pelajar matrikulasi yang dimaklumkan sebelum ini.

“Elaun para pelajar dikurangkan daripada RM 1250.00 kepada RM 500.00 sahaja. Elaun ini digunakan oleh para pelajar bagi membeli makanan, buku-buku dan keperluan-keperluan lain. Adakah ia mencukupi? Mereka tidak mempunyai sumber lain selain elaun ini”, katanya.

Menurutnya lagi, tiada sebarang alternatif diberikan oleh pihak kolej.

“Sehingga kini, saya difahamkan tiada tindakan ataupun alternatif bagi membantu nasib pelajar. Perlu saya ingatkan, majoriti pelajar-pelajar ini bukan datang daripada kalangan keluarga menteri atau orang-orang kaya yang tidak memerlukan bantuan elaun. Tempoh 3 bulan untuk mengatasi masalah ini merupakan satu penanda aras kepada pihak yang berwajib gagal dalam melaksanakan tanggungjawab dan peranan yang mereka pikul”, katanya.

Beliau turut menyatakan harapan agar isu ini segera diselesaikan oleh pihak berwajib.

“Justeru, saya berharap dan menyeru supaya pihak yang terlibat baik daripada KML dan yang berkaitan supaya mengambil langkah drastik dan efektif untuk menangani masalah elaun yang tertunggak. Adalah sangat tidak masuk akal apabila elaun pelajar dinafikan sedangkan ratusan juta wang rakyat Sabah dirompak dan dicuri oleh mereka yang berkepentingan”, katanya.

TAGS